Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang Sabtu Depan

Wartawan : Norhafiezah Abdul Aziz

Foto : Stephen Jipolin Jouti/Abangku Taufiq


PENAMPANG : Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang akan berlangsung pada 16 Mei ini.

Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren berkata, sambutan yang diadakan di Buhavan Square itu akan bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.


Noemi ketika ditemui media.


"Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam, pihak Majlis Perbandaran Penampang melakukan penyelarasan logistik secara menyeluruh antaranya menyediakan kawasan parkir yang mencukupi untuk tetamu kehormat serta orang awam.

"Dari segi keselamatan dan kawalan lalu lintas, pihak kami bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Kesihatan yang sentiasa bersiap sedia di tapak acara," katanya semasa sesi Temubual Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di sini, pada Selasa.

Selaras dengan tema sambutan iaitu "Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian", beliau berharap sambutan berkenaan dapat membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun serta rakyat pelbagai kaum di daerah tersebut.

"Saya berharap agar nilai-nilai keharmonian ini terus terpelihara melalui sambutan perayaan yang penuh bermakna ini," tambahnya.

Pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya sukan tradisional, pameran reruai perkhidmatan kerajaan, jualan produk tempatan, cabutan bertuah, persembahan artis dan pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah.

Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Sebelum sambutan utama, beberapa acara lain bakal berlangsung antaranya Pertandingan Sugandoi pada 7 Mei 2026 bertempat di MSGR Wachter Hall, St. Michael's Parish Penampang dan diikuti dengan Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan Daerah Penampang yang diadakan pada 9 Mei 2026 di Ming Garden Hotel./Penerangan-


KENANGAN...Ahli Jawatankuasa sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang 2026 bergambar kenangan.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos