Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar
Wartawan : Idris Sani Saberun
Jurufoto : Azman Jumat
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri terus memperkukuh peranan wanita dalam struktur pentadbiran dan proses pembuatan dasar sebagai sebahagian agenda memperkasa tadbir urus inklusif negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan agar wanita terus diberi ruang dan peluang yang adil dalam proses penggubalan dasar serta struktur kepimpinan pentadbiran awam.
"Komitmen itu dizahirkan menerusi pendekatan inklusif dalam pelantikan jawatan strategik, pembangunan bakat kepimpinan wanita serta penyediaan platform latihan dan peningkatan kompetensi secara berterusan.
“Ini termasuk memberi kepercayaan kepada wanita untuk menerajui jawatan penting di peringkat pengurusan tertinggi, Pihak Berkuasa Tempatan, pentadbiran daerah serta badan berkanun negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 PUSPANITA Cawangan Sabah Tahun 2026 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, beberapa jawatan strategik telah mencapai dan melepasi sasaran 30 peratus penglibatan wanita, mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kemampuan kepimpinan golongan itu.
![]() |
| RERUAI...Safar meninjau reruai PUSPANITA Cawangan Daerah. |
![]() |
| Safar (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Samliah (dua dari kanan). |
![]() |
| KENANGAN...Safar (tengah), Rosmadi (tiga dari kiri) dan Nuinda (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama-sama tiga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah. |
![]() |
| Safar menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 PUSPANITA Cawangan Sabah Tahun 2026. |
"Usaha memperkukuh penglibatan wanita juga selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang menekankan tadbir urus baik, inklusif dan berteraskan kepelbagaian kepakaran.
"PUSPANITA sebagai platform penting membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan serta jaringan profesional dalam kalangan wanita penjawat awam dan isteri penjawat awam.
"PUSPANITA bukan sekadar persatuan kebajikan, tetapi medan melatih wanita menjadi pemimpin berwibawa, sejajar dengan tema tahun ini ‘Kelibatnya Anggun Berwibawa’," ujarnya.
Pada majlis berkenaan, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kinabatangan, Samliah Taling, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Penampang, Immelda Immit dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Tuaran, Kuinmah Kimjus yang telah bersara diraikan sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.
Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah Datin Seri Panglima Datuk Dr Nuinda Alias, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahemad Sade serta Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Rosmadi Datu Sulai. /Penerangan-




Comments
Post a Comment