484 Calon SPM 2023 di Sabah Peroleh Semua A
Wartawan : Hamidah Len
Jurufoto : Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU : Seramai 484 calon memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datu Raisin Saidin berkata berbanding tahun 2022. Keputusan pada tahun ini merekodkan peningkatan 140 calon (0.43%) dengan 344 calon yang memperoleh keputusan cemerlang.
"Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 5,046 calon (14.37%) pada tahun 2023 berbanding 4,583 calon (12.73%) pada tahun 2022 dan angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 463 calon (1.64%).
"Manakala, seramai 12,710 calon (36.18%) lagi telah memperoleh sekurang- kurangnya lulus atau Gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2023 berbanding 12,026 calon (33.38%) pada tahun 2022.
"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 684 calon (2.80%) berbanding tahun 2022," katanya dalam sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan dan Pembelajaran, Nurani Fauziah Derin di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Tambah Raisin, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), 47 daripada 74 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.
"Sementara itu, 22 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi dan lima mata pelajaran mengekalkan prestasinya berbanding peperiksaan SPM Tahun 2022.
"Sebanyak enam mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi dengan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.21 mata GPMP iaitu 3.96 mata pada tahun 2023 berbanding 4.17 mata pada tahun 2022.
"Mata pelajaran Sejarah menunjukkan penurunan prestasi yang terbesar sebanyak 0.03 mata GPMP, iaitu 5.12 mata pada tahun 2023 berbanding 5.09 mata pada tahun 2022," ujarnya.
Beliau turut menyatakan seramai 984 calon di Sabah tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.
Menurutnya, JPNS tidak menolak masih wujud keciciran daripada mengambil SPM, namun angka tersebut telah berkurangan berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,564 calon dan pihaknya akan meneliti perkara tersebut.
Comments
Post a Comment