Wartawan        : Deonalissa Jekee Edin

Jurufoto            : Shahvian Mohd Razali


Kota Kinabalu : Persatuan Pencegah Kanser Sabah menyasarkan kutipan dana RM400,000 melalui projek dakian mengundur mulai 3 September ini.

Penasihatnya, Lawrence Imoi berkata, projek yang dikenali sebagai "Kinabalu Jasamu Dikenang" itu disertai oleh peserta tunggal, Edward Taning yang akan mendaki ke puncak Gunung Kinabalu secara mengundur.
 Lawrence ketika ditemui media.

"Projek ini dijangka akan berlangsung pada 3 hingga 8 September depan dan peserta akan mendaki ke puncak dari Timpohon dan seterusnya dari puncak kembali ke Timpohon secara mengundur.

"Ini merupakan salah satu usaha untuk mengisi tabung dana dan kita menyasarkan kutipan sebanyak RM400,000 daripada projek ini.

Tun Juhar (kanan) dan Lawrence ketika sesi kunjungan sedang berlangsung.

"Dana yang dikutip akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti persatuan seperti program kesedaran kanser dan juga bagi memberikan sumbangan kepada Rumah Penginapan Pesakit Kanser yang terletak di Kingfisher.

Tun Juhar (tiga dari kanan) bersalaman dengan Edward (dua dari kanan).

"Rumah penginapan ini adalah kemudahan yang disediakan kepada pesakit-pesakit kanser dari seluruh Sabah yang datang untuk mendapat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah," katanya kepada media selepas sesi kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

 KENANGAN...Tun Juhar (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama rombongan Persatuan Pencegah Kanser Sabah.

Lawrence yang diiringi Pengerusi Persatuan Pencegah Kanser Sabah, Daipah Mosikin berharap agar projek berkenaan mendapat sokongan daripada orang awam dan turut bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh Tun Juhar.

"Kinabalu Jasamu Dikenang" merupakan projek keempat Edward selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dengan berjalan mengundur dari Pekan Inanam pada tahun 1992, berjalan mengundur dari Sandakan Ke Kota Kinabalu pada 2009 dan berjalan mengundur dari Lahad Datu ke Pekan Donggongon pada 2012.

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri