PPSS Jayakan Program Ibadah Korban Aidiladha Ini
Wartawan : Zuraidah Ahmad
Jurufoto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU: Persatuan Peranakan Suluk Sabah (PPSS) akan turut menjayakan Program Ibadah Korban Peringkat Taman Aman Jaya pada sambutan Aidiladha bulan depan.
Menurut Pengerusi PPSS, D. Lakson D. Majindi, program tersebut bakal diadakan di Masjid Nurul Aman di Taman Aman Jaya, Lahad Datu dengan kerjasama jawatankuasa masjid serta penduduk setempat.
"Dalam masa terdekat ini, kita akan menyertai program korban sempena Hari Raya Aidiladha di Lahad Datu jadi PPSS ini turut sama menjayakan program ini di Masjid Nurul Aman," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.
Ujar Lakson, ekoran kekangan peruntukan, PPSS kini berharat untuk menyusun semula aktiviti serta program berdasarkan nasihat dan pandangan daripada Tun Juhar selaku penaung kepada persatuan terbabit.
"Kunjungan hari ini adalah untuk silaturahim dengan Tuan Yang Terutama Tun kerana beliau adalah penaung persatuan ini dan kami juga berbincang tentang hala tuju persatuan.
"Antaranya, kami memohon bantuan sebidang tanah untuk dewan PPSS dan membina sebuah masjid yang belum ditentukan lokasinya.
Lakson (tiga dari kiri) mengetuai rombongan PPSS dalam kunjungan hormat terhadap Tun Juhar (empat dari kiri). |
"Sebelum ini banyak aktiviti yang telah dirancang tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19.
"Walau bagaimanapun, kita tetap menjalankan aktiviti berskala kecil dalam kalangan ahli sahaja sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu," jelas beliau.
Tambahnya, PPSS yang ditubuhkan sejak tahun 2012, kini dianggotai kira-kira 2,000 orang ahli seluruh Malaysia antaranya di Johor, Melaka, Perak dan sebagainya.
Comments
Post a Comment