ACES Promosi Budaya, Perpaduan Di Sabah - Christina
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Foto : Johny George Kimlon
KOTA KINABALU: Pertandingan Tarian Kreatif Etnik Sabah Akademi Citra Seni Sabah (ACES) mampu mempromosikan budaya dan perpaduan di Sabah.
Menteri Pelancongan Kebudayaan Dan Alam Sekitar (KEPKAS) Datuk Christina Liew berkata, program seumpama itu mampu membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan keunikan budaya di Sabah di samping membina perpaduan di kalangan masyarakat.
Sesi foto bersama pelajar SM Saint Francis |
"Penganjuran program-program seperti ini adalah amat penting dalam memastikan kebudayaan bukan sahaja dinikmati oleh rakyat Sabah tetapi juga oleh masyarakat awam yang bukan berasal dari Sabah.
"Kita mempunyai lebih daripada 35 etnik utama yang berbeza dan kesemua etnik ini bersama-sama dalam menunjukkan perpaduan sekaligus mempromosikan budaya kita.
"Program yang dianjurkan bersempena Hari Kebangsaan ini turut dapat mengeratkan perpaduan dari segenap lapisan masyarakat.tidak kira tua ataupun muda.
"Pertandingan ini bukanlah mengenai siapa yang menang ataupun kalah, tetapi ia merupakan satu cara menggalakkan generasi muda kita untuk mempromosikan adat dan tradisi kita di Sabah yang unik ini sejak dari usia muda lagi," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tarian Kreatif Etnik Sabah Akademi Citra Seni Sabah (ACES) sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan hari Sabah 2024 di salah sebuah pasaraya terkemuka di sini.
Dikin menyerahkan cenderahati kepada Christina. |
Sekolah Menengah Saint Francis Xavier Keningau muncul sebagai johan dan membawa pulang RM5,000 beserta sijil yang disampaikan oleh Christina selepas menewaskan 10 sekolah lain dalam pusingan akhir pertandingan tersebut.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap I KEPKAS Mary I. Malangking, Timbalan Setiausaha Tetap II Alesia Sion dan Pengarah LKNS Dikin Musah./Penerangan-
Comments
Post a Comment