Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah: Orang Ramai Dinasihat Datang Awal

Wartawan : Idris Sani Saberun
Foto :   Mohd Sazwan Bin Roslan


KOTA KINABALU: Orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Jalan Tun Fuad Stephen dan Sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka pada 31 Ogos ini, dinasihatkan datang awal serta memilih menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan.

Saranan itu disuarakan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Polis (ACP) Kasim Muda bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan memudahkan pergerakan aliran lalu lintas berikutan penutupan beberapa jalan utama sekitar Bandaraya Kota Kinabalu bermula 27 hingga 31 Ogos ini. 

ACP Kasim Muda.

"Antara jalan-jalan yang ditutup kekal sepanjang tempoh Sambutan Hari Kebangsaan adalah laluan dari susur keluar Sutera Harbour menuju ke susur masuk Jalan Mentari (ke Imago) ditutup satu lorong, persimpangan Jalan Mentari, Bulatan Millennium ke Jalan Tun Fuad Stephens, lampu isyarat Skybridge - laluan dari arah lampu isyarat 20 ke pentas lintas hormat, laluan dari susur masuk Api-Api Centre ke lampu isyarat Skybridge dan susur keluar lorong Api-Api ke lampu isyarat Skybridge.

"Manakala jalan yang ditutup secara berkala adalah susur Jalan Centre Point menuju ke Api-Api Centre, lorong tengah Api-Api Centre dan laluan ke bangunan MAA Api-Api Centre," katanya semasa program temubual segmen'Kita Cerita #Kitakongsi' di konti SABAHfm kendalian DJ Pyan dan Kak Lang, pada Rabu.

ACP Kasim (kiri) ketika menjelaskan penutupan jalan yang dilaksanakan PDRM bagi melancarkan perjalanan program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Hari Sabah pada segmen'Kita Cerita #Kitakongsi' di konti SABAHfm.

Menurut Kasim, bagi Sambutan Hari Sabah yang bermula pada malam 31 Ogos seramai 43 anggota dan lima pegawai trafik ditugaskan bagi mengawal aliran lalu lintas berikutan penutupan simpang dan jalan manakala 35 anggota dan enam pegawai akan mengawal keselamatan sekitar tapak program di Padang Merdeka.

"Persimpangan yang ditutup adalah simpang Pintu Gerbang Istana Seri Kinabalu menuju ke Padang Merdeka manakala laluan yang ditutup adalah dari lampu isyarat Dewan Masyarakat menuju ke Padang Merdeka dan laluan dari arah simpang tiga Bukit Bendera menuju ke Pintu Gerbang Istana Seri Kinabalu," jelasnya.

Peta laluan yang ditutup kekal bagi acara perbarisan lintas hormat sempena
Hari Kebangsaan di Jalan Tun Fuad Stephens bermula 27 hingga 31 Ogos.

Dalam perkembangan lain, Kasim turut memaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan pengurangan kadar kompaun bagi saman terpilih sebanyak 50 peratus kepada pemilik-pemilik kenderaan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tersebut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai saman trafik boleh menikmati diskaun tersebut bermula dari 29 hingga 31 Ogos ini  dengan menjelaskan saman tersebut di kaunter Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Kasim menjelaskan tawaran diskaun kompaun trafik ketika ditemui wartawan seksyen 
Berita Ehwal Semasa RTM Sabah.

"Tawaran pengurangan kadar kompaun ini tidak termasuk bagi lima kesalahan mandatori termasuklah kesalahan yang melibatkan kemalangan jalan raya.

"Oleh itu, kepada pemilik-pemilik kenderaan yang mempunyai saman, ambillah peluang ini untuk menyelesaikan saman yang ada bagi mengelakkan kenderaan tuan-tuan disenarai hitamkan kerana ia akan menyebabkan pemilik kenderaan sukar untuk membuat pembaharuan insuran dan cukai jalan di kemudian hari," jelasnya.

Aritika (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Kasim sambil diperhatikan DJ Pyan (kiri), Felix (dua dari kiri) dan DJ Kak Lang (dua dari kanan).

Turut serta pada sesi tersebut Ketua Penolong Pengarah (Seksyen Radio RTM) Aritika Matbee, Pengurus SABAHfm Felix Lee Leng Pink serta  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keurusetiaan Jabatan Penerangan Sabah Siti Mariam Datuk Aziz./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri