Konsulat Republik China, YNJ Sumbang RM10,000 Kepada Tujuh Sekolah di Sabah

 Wartawan        : Siscalistorina Janius

Jurufoto            : Johnny Joklis


KOTA KINABALU: Konsulat Republik China dengan kerjasama Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menyumbang RM10,000 bagi meningkatkan kemudahan fasiliti pusat sumber di tujuh sekolah terpilih.

Al Hambra ketika ditemui media.

Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Datuk Al Hambra Juhar berkata bantuan tersebut bertujuan untuk membaik pulih dan meningkatkan kemudahan fasiliti pusat sumber sekolah yang daif yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

"Saya berharap YNJ dan Konsul Negara China dapat terus bekerjasama untuk menyantuni sekolah-sekolah di Sabah ini, seperti yang kita tahu banyak sekolah di daerah-daerah amat daif dan memerlukan bantuan.

Raisin ketika ditemui media.

"Kita tahu, pusat sumber sekolah merupakan bahagian keperluan yang penting untuk pelajar juga guru, insya-Allah di masa akan datang kita akan cuba menyantuni sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan bersama dengan  Konsulat Republik China," katanya kepada media dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Seri Kinabalu, pada Rabu.

Penyerahan bantuan tersebut disampaikan oleh Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin  bersama isteri, Toh Puan Norlidah Datuk R.M Jasni.

Dr. Huang Shifang ketika ditemui media.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin menyatakan tujuh sekolah tersebut dinilai terlebih dahulu berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan sebelum menerima bantuan dan berharap program seumpama akan diteruskan.

"Saya berharap program ini diteruskan pada masa akan datang dan kita doakan YNJ ini akan terus diberikan rezeki yang luas bersama rakan-rakan strategik seterusnya dapat sama-sama membantu meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.

Tun Juhar (dua dari kiri) ketika dalam majlis tersebut.

"Semoga sumbangan yang diterima ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan meningkatkan kemudahan pusat sumber sekolah seterusnya menggalakkan anak-anak murid menggunakan pusat sumber dengan baik dengan adanya tambahan bahan-bahan bacaan yang sesuai diletakkan dalam pusat sumber berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang memaklumkan sumbangan tersebut adalah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Dr. Huang Shifang ketika menyerahkan mock cek kepada penerima yang mewakili sekolah sambil disaksikan oleh Tun Juhar (tiga dari kanan) dan Toh Puan Norlidah (dua dari kanan).

Tujuh sekolah yang menerima bantuan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lumagar Papar, SK Sumbiling Papar, SK Mandalipau Papar, SK Palu-Palu Kuala Penyu, SK Tenambak Kuala Penyu, SK Pintas Beaufort dan SK Tahak Beaufort./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri