SEDIA Promosikan Teknologi Dron Pacu Ekonomi Sabah - Hajiji
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Jurufoto : Mohd Sazwan Roslan
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi Dan Pelaburan Sabah (SEDIA) digesa terus mempromosi penggunaan teknologi dron dalam memacu pembangunan ekonomi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, SEDIA perlu terus mempromosikan penggunaan teknologi dron sebagai alat pemantauan dalam meningkatkan projek-projek pembangunan seterusnya meningkatkan ekonomi negeri.
Phoong (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Sabah Drone Open Day 2024. |
"SEDIA perlu terus mempromosikan teknologi dron sebagai alat meningkatkan produktiviti juga sebagai alat pemantauan dalam projek pembangunan.
"Ini kerana SEDIA mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi Sabah melalui Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.
Menurut beliau, SEDIA banyak membantu pelaburan dalam sektor pertanian, infrastruktur dan teknologi hijau selaras dengan Visi Sabah dalam mencapai kestabilan pembangunan dan persaingan global.
"Teknologi dron telah membantu SEDIA dalam mempercepatkan pengurusan tanah dan proses pemantauan alam sekitar selari dengan objektif pembangunan Sabah.
"Di samping itu penggunaan teknologi dron dapat membantu menangani masalah kekurangan pekerja dalam sektor pertanian.
"Sabah seharusnya tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi ini, memandangkan kemajuan teknologi adalah salah satu keutamaan polisi mesra pelabur negeri ini," ujarnya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Keusahawanan dan Pembangunan Industri, Datuk Phoong Jin Zhe dalam majlis Sabah Drone Open Day 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berharap agar kerjasama kukuh antara kerajaan, industri, pengkaji dan komuniti dapat mengadaptasi penggunaan teknologi dron untuk merangsang ekonomi Sabah.
Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan./Penerangan-
Comments
Post a Comment