Tiada Larangan Kereta Persendirian Masuk Pekan KB Sabtu Ini

 Wartawan        :Zuraidah Ahmad & Nazri Ramshah

Jurufoto            : Mohd Sazwan Roslan

KOTA BELUD:  Tidak ada larangan bagi kereta persendirian untuk memasuki kawasan Pekan Kota Belud sempena Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2024, Sabtu ini.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah, orang ramai boleh melalui kawasan pekan ataupun tapak tamu bergantung kepada keadaan semasa aliran trafik.

Diyanah ketika ditemui media.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat perancangan rapi untuk mendepani isu kesesakan lalu lintas di lokasi terbabit.

“Sebenarnya, tidak ada penutupan itu sekiranya ada keperluan, bukannya ditutup.

“Orang ramai masih boleh masuk, tetapi kalaulah semua sudah penuh dan tidak ada ruang, polis terpaksa divert ataupun mengalihkan parkir itu ke tempat yang lain. 

“Polis sudah membuat perancangan laluan-laluan yang boleh sekiranya ada laluan yang terlalu sesak, mereka (Polis) akan alihkan laluan itu kepada yang tidak sesak,” jelas beliau.

Suasana Raptai Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2024.


Tambah Diyanah, pihak jawatankuasa menyediakan bus ulang alik di lima ‘pickup point’ yang telah ditetapkan bagi memudahkan pergerakan masuk ke tapak tamu ataupun di Padang Pekan Kota Belud.

“Bas-bas yang kita sediakan itu adalah sebagai satu pilihan di mana sekiranya mereka tidak mahu bersusah payah ataupun mahu menghindar daripada menghadapi kesesakan lalu lintas, mereka ada pilihan untuk parking di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Suasana Raptai Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2024.
 
“Pertama, ia untuk menyenangkan. Keduanya, bas itu disediakan adalah untuk membantu atau memberi kemudahan kepada penduduk atau masyarakat yang tidak mempunyai kenderaan untuk datang ke sini.
 
“Jadi itulah tujuannya supaya masyarakat dapat sama-sama meraikan sambutan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, lima ‘pickup point‘ yang terlibat ialah Kompleks Sukan Botung, Dewan Kampung Tempasuk 1, Pejabat UPPM N11 Sky Blue Piasau, SMK Pekan 2 dan Pusat Khidmat ADUN Tempasuk.

Beliau ditemui media selepas memantau Raptai Penuh Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud di sini, pada Khamis.

Semalam, maklumat mengenai larangan kenderaan persendirian masuk ke kawan Pekan Kota Belud tular di media sosial sebelum ditarik semula kurang daripada 24 jam sehingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Kali terakhir, sambutan Tamu Besar Kota Belud diadakan pada Oktober 2019 dan terhenti selama empat tahun akibat pandemik Covid-19./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri