Program HBK NADI Sim Sim Perkasa Usahawan Tempatan, Perkukuh Celik Digital

Wartawan    : Idris Sani Saberun
Jurufoto        : 
Shahvian Mohd Razali


SANDAKAN : Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sim Sim berjaya memperkasa usahawan tempatan serta meningkatkan celik digital dalam kalangan komuniti setempat. 


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menjadi platform penting dalam usaha merapatkan jurang digital dan sosial, sekali gus memperluas jaringan kerjasama pelbagai agensi untuk menjayakan agenda digital negara. 


Aktiviti-aktiviti utama yang diadakan sempena program itu termasuk Kempen Internet Selamat, pameran aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI, promosi produk usahawan NADI, Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), saringan kesihatan percuma, bengkel microbit, pertandingan e-Sukan dan pendaftaran ahli NADI baharu. 


"Melalui Kempen Internet Selamat, pelajar bawah 13 tahun diberi pendedahan mengenai penggunaan internet secara beretika serta bahaya risiko siber seperti buli siber, pemangsaan dalam talian dan kandungan tidak sesuai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program berkenaan. 


Menurut Fahmi, NADI Sim Sim yang mula beroperasi pada 22 Oktober 2019 berperanan penting memperkasakan komuniti menerusi lima teras utama Perkhidmatan Pintar iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif kerajaan. 


Beliau berkata usaha NADI dalam membangunkan komuniti dapat dilihat melalui kejayaan ramai usahawan tempatan yang kini mampu memasarkan produk secara dalam talian menggunakan platform digital seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Shopee. 

 LITERASI KOMPUTER... Fahmi tertarik dengan tahap literasi komputer salah seorang pengguna NADI Sim Sim.

 ILMU... Fahmi bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pegawai kesihatan ketika melawat ke reruai Hospital Duchess of Kent Sandakan. 

Fahmi bercakap pada sidang media di perkarangan NADI Sim-Sim. 

Fahmi ketika menandatangani buku digital Hari Bersama Komuniti NADI Sim Sim Sandakan. 



"Program keusahawanan NADIPreneur turut membuka peluang kepada usahawan kecil dari aspek pembangunan produk, pemasaran, kemahiran digital dan literasi kewangan asas," katanya. 


Mengulas lanjut, Fahmi berkata inisiatif nasional '1 DUN 1 NADI' membuktikan komitmen kerajaan memperluaskan capaian maklumat dan teknologi digital khususnya di luar bandar dan pedalaman, dengan 14 NADI baharu telah dan sedang dibangunkan di Sabah sahaja. 


Daripada jumlah itu, 12 NADI telah beroperasi manakala dua lagi dalam fasa pelaksanaan, iaitu di Kampung Gelam dan Pulau Banggi. 


"Di daerah Sandakan sahaja, terdapat lapan NADI aktif iaitu NADI Sim Sim, NADI Pekan Batu Sapi, NADI PPR Taman Mesra, NADI Taman Mawar, NADI PPR Taman Murni, NADI Kg Sungai Kayu, NADI Sebait Padas dan NADI PPR Taman Gum Gum yang memanfaatkan hampir 12,000 komuniti setempat," ujarnya. 


Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Tuan Bukhari Yahya./Penerangan- 

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah