Rujuk Tabung Haji Elak Tertipu Pakej Haji Palsu -Arifin
Wartawan : Nazri Ramshah Abdul Basah
Foto : Jefren Malaning
Arifin ketika menyampaikan ucapan Ketua Menteri Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif berkata, TH mempunyai kepakaran luas dalam menguruskan jemaah haji dan sentiasa bersedia membantu orang ramai mendapatkan maklumat sahih.
“Masyarakat tidak akan mudah tertipu dengan pakej-pakej haji palsu sekiranya membuat semakan awal dengan merujuk kepada TH atau agensi-agensi yang diiktiraf.
“TH juga sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat dan bimbingan dalam membantu orang ramai memilih pakej haji daripada agensi-agensi yang berwibawa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji (Zon Pantai Barat) di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Sabtu.
Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Negeri Sabah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen TH dalam membantu jemaah membuat persiapan awal menunaikan ibadah haji.
Arifin menyampaikan antara keperluan kepada bakal jemaah haji.
“Terima kasih kepada TH atas penganjuran kursus ini yang turut diadakan di daerah-daerah bagi membimbing para bakal jemaah haji dengan ilmu secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci,” ujarnya.
Arifin sempat beramah mesra dengan peserta kursus.
Kursus selama dua hari itu yang berlangsung dari 26 hingga 27 April disertai lebih 400 bakal jemaah haji dari zon Pantai Barat Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hampir 1,000 bakal jemaah haji dari Sabah akan menunaikan ibadah haji tahun ini dan berharap kuota itu akan terus bertambah pada masa hadapan.
Peserta kursus bergambar kenangan bersama tetamu kehormat yang hadir.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat membuka akaun Tabung Haji serta mendidik anak-anak menabung sejak awal bagi memudahkan urusan pendaftaran haji kelak.
Turut hadir, Pembantu Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ruslan Muharam; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Sabah, Datuk Norjeli Idris; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said./Penerangan-
Comments
Post a Comment