Projek Esteel Cipta Kesan Rantaian Perniagaan- Hajiji
Wartawan : Matfazly bin Mat Kassim
Foto : Johny George Kimlon / Jeffren Malaning
KOTA KINABALU : Projek tiga fasa Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion akan mencetuskan kesan rantaian yang meluas melangkaui teknologi hijau untuk merangsang inovasi, memacu manfaat kepada perniagaan dan masyarakat di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata projek itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sahaja untuk Sipitang tetapi juga untuk negeri secara amnya.
“Berkaitan dengan pekerjaan, saya ingin menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah. Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan kita dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan.
“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri,” katanya pada majlis pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
![]() |
| Anwar (tengah) merasmikan pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel sambil diperhatikan oleh Hajiji (empat dari kiri). |
“Seperti yang kita tahu, taman-taman perindustrian yang sedia ada iaitu Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) telah menunjukkan peningkatan kadar penghunian dalam tempoh empat tahun yang lalu.
“Akibat permintaan yang tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman industri baru di Kota Belud, Beaufort dan Kudat untuk Taman Industri Ekonomi Biru,” jelas beliau.
Tambah Hajiji, pembangunan berkenaan merupakan satu perkembangan yang baik bagi Sabah dalam meneruskan usaha meneroka potensi baru demi merealisasikan potensi penuh negeri ini.
“Saya telah menegaskan bahawa Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah melaksanakan dasar-dasar untuk menarik lebih ramai pelabur ke sini.
![]() |
| SAMBUTAN... Ketibaan Anwar (tengah) ke SICC disambut oleh para tetamu yang hadir. |
"Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif yang menyuburkan pelaburan dan memupuk kerjasama," ujarnya.
“Kami memahami kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus, dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang,” katanya lagi.
![]() |
| FOTO... Hajiji (tujuh dari kiri) bersama Anwar (tengah) dalam sesi foto bersama para tetamu pada akhir majlis. |
Hadir sama dalam majlis tersebut Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedict, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong./Penerangan-





Comments
Post a Comment