Tiang Lampu Elektrik Solar Dipasang Mulai Tahun Ini - Anwar
Wartawan : Idris Sani Saberun
Foto : Johnny Joklis / Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU: Tiang lampu elektrik solar akan dipasang di hampir semua kampung dan kawasan pedalaman di Sabah mulai tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian usaha segera kerajaan persekutuan memperluas kemudahan asas kepada rakyat luar bandar.
Menurutnya, langkah itu dilaksanakan selepas mendapati cadangan sebelum ini melibatkan kos terlalu tinggi, dan kini kerajaan berjaya merumuskan pelan lebih praktikal dan mampu dilaksana secara berperingkat menggunakan teknologi solar.
"Kita mula termasuk di Sabah ini. Hampir semua kampung dalam tahun ini juga kita letaklah tiang elektrik solar. Dia murah tapi terang dan saya telah luluskan peruntukan diperlukan," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) pada Jumaat.
![]() |
| Anwar sempat bertanyakan sesuatu kepada Pairin (kanan) sambil disaksikan Hajiji (kiri) sejurus tiba di Dewan Hongkod Koisaan KDCA. |
Semasa berucap, Anwar menegaskan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, menyatakan bahawa permintaan Sabah kini didengar secara langsung dalam mesyuarat pembangunan nasional seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas.
Pendekatan baharu itu mencerminkan perubahan besar dalam penyusunan dasar pembangunan, yang kini tidak lagi diputuskan sepenuhnya di peringkat kementerian pusat tanpa mengambil kira keperluan negeri secara langsung.
![]() |
RASMI... Anwar membuat tujuh paluan gong sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan Joachim (kiri), Hajiji (dua dari kiri), Shahelmey (kanan) dan Pairin (dua dari kanan). |
"Sebab itu kalau mahu Sabah maju, mesti ada semangat untuk bina kekuatan Sabah dan lakukan ini bersama dengan semangat perpaduan dalam satu negara," ujarnya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan sedia berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah mengenai pengagihan hasil seperti yang telah dipersetujui bersama Sarawak sebelum ini, termasuk isu minyak dan gas.
![]() |
Penari-penari kebudayaan gembira memperagakan pakaian tradisi suku kaum masing-masing di perkarangan Dewan Hongkod Koisaan KDCA ketika menyambut ketibaan pengunjung. |
"Saya tidak ada masalah untuk beri keutamaan hasil kepada Sabah, tapi biar rundingan dibuat secara harmoni, bukan jeritan maki hamun, saya cadangkan biar menang dengan Kerajaan Negeri dan bekerjasama dengan Persekutuan supaya hasilnya sampai kepada kepada rakyat," katanya lagi.
![]() |
Penari-penari kebudayaan gembira memperagakan pakaian tradisi suku kaum masing-masing di perkarangan Dewan Hongkod Koisaan KDCA ketika menyambut ketibaan pengunjung. |
Anwar turut memuji semangat perpaduan pelbagai etnik di Sabah serta peranan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dalam memelihara warisan dan nilai murni masyarakat tempatan.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya, Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua adat./Penerangan-





Comments
Post a Comment