Tun Musa Rasmi Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025
Wartawan : Suzaima Ibrahim
Foto : Marusin Minuddin / Jeffren Malaning
PENAMPANG : Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Sabtu.
![]() |
| Tun Musa (dua dari kiri) diriringi Hajiji (kanan) ketika merasmikan Sambutan Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025. |
Tun Musa menyempurnakan upacara mongomot atau menuai padi sebagai simbolik kemuncak perayaan, sebelum memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda rasmi penutupan Pesta Kaamatan peringkat negeri bagi tahun ini.
![]() |
| Tun Musa (tengah) diiringi Joseph (tiga dari kiri) dan Hajiji (dua dari kiri) ketika membuat persembahan koir nyanyian bersama kumpulan The OV Singers. |
Keberangkatan tiba Tun Musa disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
![]() |
| Tun Musa (tiga dari kiri) ketika memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik pengisytiharan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025. |
Majlis penutupan turut menampilkan seramai 51 peserta Unduk Ngadau (UN) Peringkat Kebangsaan 2025 yang memperagakan busana tradisional pelbagai etnik di Sabah, sekali gus menyerlahkan kekayaan warisan budaya negeri ini.
![]() |
| Penampilan khas peserta- peserta akhir Unduk Ngadau 2025. |
Turut memeriahkan acara ialah persembahan kebudayaan daripada Rumah Tradisi Kiulu, Dusun Labuk dan Kimaragang, selain persembahan istimewa oleh johan Pertandingan ROISOL peringkat sekolah menengah yang menonjolkan keindahan tradisi lisan dan bahasa masyarakat tempatan.
![]() |
| Tun Musa (empat dari kiri) bersama Hajiji (tiga dari kiri) melawat Rumah Tradisi Tuaran pada Majlis tersebut. |
Hadir sama, Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing.
![]() |
| Tun Musa (tengah) ketika melawat Rumah Tradisi Murut. |
Dianggarkan lebih 25,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis penutupan yang berlangsung selama dua hari bermula pada 30 Mei lalu./Penerangan-






Comments
Post a Comment