RM18.9 Juta Disalur Kepada 182 Usahawan PMKS Sabah di Bawah BEEP
Wartawan : Siscalistorina Janius
Jurufoto : Mohd Rizal Matasan
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya SME Corp Malaysia menyalurkan geran pembiayaan sejumlah RM18.9 juta kepada 182 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) Sabah di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu 44 syarikat menerima geran BEEP 2.0 bernilai RM7.42 juta dan 138 syarikat PMKS menerima geran BEEP Plus berjumlah RM11.48 juta.
Beliau berkata, BEEP Plus adalah inisiatif yang beliau perkenalkan pada tahun 2023 di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara - Perspektif KUSKOP bagi membantu menangani keperluan PMKS di Malaysia Timur yang berhadapan dengan cabaran tersendiri khususnya kos perniagaan yang lebih tinggi.
“BEEP Plus telah diperkenalkan di Sabah dan Sarawak susulan libat urus kita dengan usahawan-usahawan PMKS di Sabah, di mana kita telah memasukkan dua skop tambahan meliputi penyewaan premis perniagaan dan juga perolehan bahan mentah.
“Sejak diperkenalkan, kita telah membantu seramai 197 usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Hari Terbuka Hab PMKS Sabah dan Sesi Ramah Mesra bersama Penerima BEEP, di Hotel D’Arc, pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi, SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Datuk Nainy, wakil-wakil kementerian dan agensi.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan geran BEEP kepada seramai 15 orang usahawan Sabah berjumlah RM2.07 juta.
Ewon berkata pelaksanaan BEEP Plus mendapat sambutan menggalakkan dengan permohonan melebihi dana asal RM5 juta yang diperuntukkan sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, kementerian telah mengemukakan permohonan peruntukan lebih besar di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi membolehkan lebih ramai usahawan Sabah dan Sarawak menerima manfaat.
Tambahnya, kementerian memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan usahawan di kedua-dua negeri itu dapat bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.
![]() |
| Ewon (tengah) ketika ditemui media. |
![]() |
| Antara penerima BEEP dan BEEP Plus. |
![]() |
| Antara penerima BEEP dan BEEP Plus. |
![]() |
| Antara penerima BEEP dan BEEP Plus. |
![]() |
| Ewon (tiga dari kanan) ketika melawat booth dalam majlis tersebut. |
![]() |
| Antara penerima BEEP dan BEEP Plus. |
![]() |
| Ewon (dua dari kiri) ketika sesi ramah mesra. |
“Saya meletakkan harapan yang tinggi dalam RMK-13, program khas untuk Sabah dan Sarawak akan diteruskan termasuklah BEEP Plus dan inisiatif-inisiatif khas seperti Projek Tamu Desa dan beberapa lagi inisiatif lain yang kita telah perkenalkan dalam tempoh dua tahun lebih di Sabah dan Sarawak.
“Walaupun kita memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak namun saya dan pimpinan kementerian serta agensI-agensi KUSKOP juga memberi fokus besar kepada keseluruhan usahawan di seluruh negara.
“Ini dapat dibuktikan melalui jumlah pembiayaan yang begitu besar telah kita salurkan kepada usahawan di seluruh negara,” ujar beliau.
Ewon berkata, setakat tahun 2024, KUSKOP telah menyalurkan lebih RM9.5 bilion kepada 333,000 usahawan dan koperasi di seluruh negara, sekaligus menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam memperkasa sektor PMKS negara.
Pada majlis itu turut diadakan sesi dialog bersama para penerima geran BEEP dan BEEP Plus yang mengemukakan pelbagai cadangan dan pandangan berkenaan keperluan pembangunan usahawan di negeri ini./Penerangan-







Comments
Post a Comment