Tawau Teraktif Saringan NCD, Bakal Jadi Hab Kardiologi Pantai Timur

Wartawan : Bustan Made Aming

Foto : Mohd Sazwan Roslan


TAWAU: Daerah ini muncul antara yang paling aktif melaksanakan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk kanser sekali gus mengukuhkan usaha pengesanan awal penyakit kronik di Sabah.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelaksanaan saringan awal termasuk kanser payudara terus dipertingkat bagi memastikan pesakit mendapat peluang rawatan yang lebih baik.  



Dzulkefly (kiri) ketika berucap di Majlis Perasmian Kem Kesihatan Kukusan 2025.


“Penyakit tidak berjangkit kini cabaran terbesar negara. Dalam banyak keadaan, satu daripada dua individu tidak sedar mereka menghidap hipertensi, diabetes atau kanser.


“Saya menyeru masyarakat agar cakna, datang membuat pemeriksaan dan mengambil langkah rawatan awal,” katanya ketika merasmikan Kem Kesihatan Kukusan 2025, pada Rabu.


Beliau turut memaklumkan selaras impian menaik taraf Hospital Tawau ke Hospital Kategori 1, daerah tersebut berada pada laluan tepat untuk menjadi pusat rujukan kardiologi Pantai Timur Sabah.


“Kita mahu Hospital Tawau dinaik taraf dengan tambahan 150 katil dan mewujudkan Invasive Cardiac Lab. Jika direalisasikan, pesakit jantung di Pantai Timur tidak perlu lagi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk mendapatkan rawatan.


“Tawau juga berpotensi menjadi pusat rujukan kardiologi bagi seluruh Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan sekali gus melonjakkan pelancongan kesihatan di wilayah ini,” ujarnya.


Sementara itu, Penaung Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah berkata usaha penubuhan Klinik Kesihatan baharu di Kukusan terhasil menerusi kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan.  


MEDIA… Liew (tengah) ketika ditemui media selepas majlis tersebut.  


“Dengan adanya klinik ini nanti, rawatan asas akan lebih cepat dan beban hospital dapat dikurangkan. Lebih 30,000 penduduk Kukusan dan kawasan sekitar akan menikmati manfaat.  


“Kita juga sedang mengusahakan sebuah lagi klinik di Taman Semarak memandangkan jumlah penduduknya yang besar,” katanya.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Muhammad Jikal./Penerangan-


HADIR… Antara penduduk setempat dan kakitangan Jabatan Kesihatan yang menghadiri program berkenaan.  



Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah