UMS Terus Unggul Sebagai ‘The Brain of Borneo
Wartawan : Siscalistorina Janius
Jurufoto : Azman Jumat
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan utama di Borneo selaras dengan peranannya sebagai ‘The Brain of Borneo’.
Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UMS, Tun Musa Aman berkata usaha berterusan universiti itu memperkukuh penyelidikan semakin membuahkan hasil sekali gus mengangkat UMS sebagai pusat ilmu yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pada 2024 sahaja, UMS menerima RM6.5 juta geran penyelidikan daripada Kerajaan Negeri bagi menyokong projek kajian serta penubuhan kerusi khas berkaitan kebudayaan dan sains tempatan.
![]() |
| Suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-27 bagi Graduan Tahun 2025. |
![]() |
| Izzat Aiman (dua dari kiri) menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) daripada Tun Musa (tiga dari kanan). |
![]() |
| Antara graduan yang turut menerima ijazah. |
![]() |
| Perarakan Canselor masuk ke dewan. |
"Ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan penyelidikan UMS dalam pembangunan mampan serta pengukuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-27 bagi Graduan Tahun 2025 di Dewan Canselor UMS, pada Jumaat.
Di samping itu, Tun Musa juga mengingatkan graduan supaya terus belajar, berinovasi dan mengekalkan kreativiti dalam bidang masing-masing, selain menggunakan media sosial secara beretika dengan membawa naratif positif.
“Ijazah yang diterima adalah simbol ketabahan, komitmen dan semangat untuk terus belajar, khususnya dalam bidang teknologi, ekonomi dan sosial. Ingatlah bahawa pembelajaran tidak terhenti setakat di sini.
"Gunakan kreativiti anda untuk menambah nilai melalui inovasi teknologi, penglibatan komuniti atau usaha mengekalkan warisan budaya,” ujarnya.
Majlis Konvokesyen UMS Ke-27 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 November itu menyaksikan seramai 331 graduan menerima ijazah doktor falsafah, sarjana dan doktor perubatan.
Turut disampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) yang masing-masing diberikan kepada Izzat Aiman Mohd Yusof dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Soo Jit Yee dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Selain itu, Tun Musa turut menyempurnakan penganugerahan Pingat Emas Canselor kepada Kristie Chiang Shen Shuet dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), manakala Pingat Emas Naib Canselor diberikan kepada Chin Jia Wen dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; serta Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor./Penerangan-




Comments
Post a Comment