Kaamatan Angkat Budaya Sabah Ke Mata Dunia
Wartawan: Idris Sani Saberun
Jurufoto: Johnny Joklis/ Mohd Sazwan Roslan/Rednny Rasang
PENAMPANG : Kerajaan Negeri menyasarkan Pesta Kaamatan muncul sebagai antara festival budaya utama di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), KDCA serta pemain industri pelancongan.
"Pelbagai strategi promosi telah dirangka termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa, kempen digital global dan kolaborasi bersama ejen pelancongan luar negara bagi memperkenalkan keunikan budaya serta keharmonian masyarakat Sabah kepada dunia," katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan di sini, pada Sabtu.
Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Joachim menambah, tema Kaamatan tahun ini, "Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian", bukan sekadar ungkapan tetapi satu seruan untuk terus memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang, kepercayaan, kaum dan budaya.
"Penyertaan pelbagai etnik melalui persembahan tarian, muzik warisan dan hidangan tradisional di rumah-rumah budaya masing-masing bukan sahaja menyerikan sambutan, malah memperkukuh semangat perpaduan serta saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kerajaan negeri menyambut baik penyerahan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada Sabah bagi mempercepat penyediaan kemudahan bekalan air luar bandar.
"Kita berharap tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dinantikan rakyat Sabah dapat dipercepatkan bagi menyokong pembangunan negeri secara lebih menyeluruh," tambahnya lagi.
Pada masa sama, beliau memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan sebuah universiti kolej di Tambunan yang disifatkan mampu memberi manfaat kepada pelajar khususnya dari kawasan luar bandar.
Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM5.9 juta bagi penganjuran Pesta Kaamatan tahun ini serta MOTAC yang menyalurkan RM1 juta bagi menyokong penganjuran dan menaik taraf kemudahan di Hongkod Koisaan.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Huguan Siou; Timbalan Peresiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan; serta pemimpin kerajaan negeri dan Persekutuan./Penerangan-


Comments
Post a Comment