Pesta Kaamatan Sabah 2026 Catat Rekod MBOR

 Wartawan:

Jurufoto:


PENAMPANG : Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR). 

Pengiktirafan sebagai "The Longest Non-Stop Kaamatan Festival" diberikan atas keunikan pesta tersebut yang dilangsungkan paling lama tanpa henti iaitu sepanjang 17 hari.

Dalam pada itu, hari kedua sambutan pesta kaamatan menyaksikan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung membanjiri pekarangan dan Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini, pada Ahad.

Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 dimulakan dengan ucapan aluan daripada Huguan Siou, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden KDCA disusuli ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Acara kemuncak perayaan disempurnakan dengan Lafaz Penangguhan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. 
Wakil MBOR, Edwin Yeoh (empat dari kiri), menyampaikan sijil pengiktirafan MBOR kepada Joseph Pairin (lima dari kanan) bagi mengiktiraf Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 sebagai "The Longest Non-Stop Kaamatan Festival". 

Sejurus selepas itu, Tun Musa mengetuai upacara simbolik tradisi “Mongomot” iaitu menuai padi dan “Popoo’pi Pa’ai doid Tangkob” atau menyimpan padi ke dalam tangkob, sebelum memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda pengisytiharan rasmi penutupan Pesta Kaamatan tahun ini. 

Majlis diteruskan dengan Upacara Magavau yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bobolian Negeri Sabah, disusuli persembahan koir daripada kumpulan The Male Efficient bersama-sama barisan dif-dif kehormat dengan membawa lagu "Tadau Tagazo Do Kaamatan".

Hadirin turut disajikan dengan kepelbagaian seni budaya melalui persembahan tarian tradisi dari rumah-rumah warisan daerah Kuala Penyu, Kimaragang, Tuaran dan Tenom serta persembahan daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).  
 Antara persembahan tarian tradisi yang memeriahkan majlis penutupan perayaan.

Turut membuat persembahan ialah Johan Pertandingan Momoroisol (Pidato) Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sabah 2026, Eklesia Dayana Daim dan Johan Pertandingan Sugandoi Songkotoun Kaamatan 2026, Ambrose Poisil. 

Sorakan pengunjung di dalam dewan bergema ketika sesi penampilan 53 finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2026. 

Majlis diakhiri dengan acara lawatan rasmi oleh Tun Musa bersama Hajiji serta tetamu kehormat ke rumah-rumah tradisi etnik di sekitar KDCA. 

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong./Penerangan

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar