Kampung Nosoob Catat Penurunan Kes Wabak Denggi
Wartawan : Norhafiezah Abd Aziz
Jurufoto : Abang Taufik bin Abang Razali
Dr. Mohamad Syakeel ketika menyampaikan taklimat pada program tersebut.
PENAMPANG : Kampung Nosoob mencatatkan trend penurunan kes berisiko wabak denggi hasil tindakan proaktif dan kerjasama erat komuniti dalam usaha membendung penularan penyakit itu.
Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Penampang, Dr. Mohamad Syakeel Mohamad Said berkata, perkembangan positif itu didorong oleh komitmen berterusan skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Kg Nosoob yang aktif melaksanakan program kesedaran dan pencegahan.
“Kg Nosoob merupakan antara kawasan yang setiap tahun dilanda wabak denggi, namun trend kes kini semakin menurun hasil kerjasama erat daripada COMBI Kampung Nosoob.
“Saya berharap perkongsian menerusi program ini dapat dimanfaatkan masyarakat sekali gus meningkatkan lagi kesedaran terhadap bahaya denggi,” katanya ketika ditemui pada Program JIWA @ Komuniti MADANI: Sembang Santai Kampung Nosoob di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Nosoob, di sini pada Sabtu.
Peserta merakam gambar kenangan bersama penduduk, wakil agensi kerajaan dan skuad COMBI.
Program hasil kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Penampang, PKD Penampang, NADI Nosoob dan skuad COMBI Kg Nosoob itu memfokuskan kepada pemerkasaan kesihatan awam dengan memberi pendedahan kepada penduduk mengenai langkah pencegahan demam denggi serta usaha memerangi pembiakan nyamuk Aedes./Penerangan-


Comments
Post a Comment