Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Sasar 5,000 Pengunjung

 Wartawan : Nazri Ramsyah

Jurufoto: Rednny Rasang


PENAMPANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas 2026. 

Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Sabah, Khairul Karnawi berkata, karnival dianjurkan khusus bagi sektor minyak dan gas itu merupakan julung kalinya diadakan di Sabah yang dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah.

"Karnival ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selama dua hari bermula pada 22 hingga 23 Julai ini.

"Golongan belia, graduan baharu serta pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri ini amat digalakkan untuk hadir.

Khairul (kanan) bersama rombongan dari PERKESO.

"Sepanjang karnival ini berlangsung, sebanyak 30 majikan terkemuka dalam industri minyak dan gas akan mengadakan sesi temu duga terbuka, antaranya termasuk Hibiscus Petroleum, Perdana Petroleum dan Jadestone Energy.

"Bagi membantu pencari kerja menonjolkan potensi diri, kami turut menyediakan kaunter kaunseling kerjaya serta perkhidmatan semakan resume oleh pakar industri bagi meningkatkan kualiti profil (CV) mereka, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat JAPEN Sabah, di sini, pada Rabu.
Edi (kanan) berkongsi antara aktiviti JAPEN Sabah kepada rombongan PERKESO.

Selain peluang pekerjaan, karnival itu turut menampilkan pameran interaktif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh PETROSAINS bagi memupuk minat generasi muda terhadap bidang berkenaan.

"Pengunjung juga berpeluang menimba ilmu dan inspirasi secara langsung menerusi sesi perkongsian bersama pakar industri (SME), Pak Tam Nizam Ahmad yang akan berkongsi pengalaman  beliau dalam dunia minyak dan gas," ujarnya.

Sementara itu, Jainisah berkata, kerjasama strategik antara JAPEN Sabah dan PERKESO penting bagi memastikan maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat di bandar dan luar bandar.

Menurutnya, masih terdapat segelintir masyarakat yang belum mengetahui bahawa PERKESO bukan sahaja menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan antaranya menerusi inisiatif karnival kerjaya MyFutureJobs.

Sehubungan itu, Jainisah menggalakkan belia serta individu yang sedang mencari pekerjaan dan berminat menceburi industri minyak dan gas supaya menghadiri karnival berkenaan bagi meneroka peluang kerjaya yang ditawarkan./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar

PUSPA VOICE 2.0 Tonjol Bakat Seni Suara Wanita Sabah