KWKKR Cadang Perluas TASKA Di Semua Pejabat Kerajaan

Wartawan: Siscalistorina Janius
Jurufoto: Jeffren Malaning / Nazri Ramshah Abdul Basah


KOTA KINABALU : Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah bercadang memperluaskan perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di semua pejabat kerajaan negeri.


Menterinya, Datuk Julita Majungki berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan penjawat awam mendapat kemudahan penjagaan anak yang berkualiti.

"Kerajaan Negeri prihatin dengan cabaran yang dihadapi ibu bapa bekerja dalam mencari premis asuhan yang mematuhi piawaian keselamatan.

"KWKKR menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) sebelum ini sudah menyediakan kemudahan TASKA di beberapa lokasi utama seperti di Wisma Wanita, Menara Kinabalu, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kompleks Yayasan Sabah.

"Kementerian turut bercadang untuk memperluaskan lagi pewujudan TASKA di semua pejabat Kerajaan Negeri dan kini sedang dalam proses menyediakan prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan untuk tujuan ini," katanya.

Julita ketika menjawab soalan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan pada hari kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ketujuh Belas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Julita berkata sokongan terhadap didikan awal kanak-kanak di negeri ini turut diperkasakan menerusi pembukaan Taska Perpaduan di bawah kendalian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

"Terdapat dua buah Taska Perpaduan kendalian JPNIN di Sabah setakat ini, iaitu Taska Perpaduan Nosoob Baru di Penampang dan Taska Perpaduan Goshen di Kota Marudu," katanya.

Sesi persidangan DUN Sabah pada hari kedua menyaksikan sebanyak 18 soalan dijawab secara lisan oleh pihak kementerian./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar

PUSPA VOICE 2.0 Tonjol Bakat Seni Suara Wanita Sabah