Pengalihan Utiliti, Pengambilan Tanah Antara Faktor Kelewatan Projek Pan Borneo
Wartawan : Deonalissa Jekee Edin
Jurufoto : Kementerian Kerja Raya Sabah
Jurufoto : Kementerian Kerja Raya Sabah
KOTA KINABALU : Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berpunca daripada pelbagai faktor antaranya pengagihan utiliti dan pengambilan tanah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam berkata, pengalihan utiliti, iaitu pemindahan tiang elektrik merupakan antara faktor yang memberi kesan kepada kemajuan projek.
"Walau bagaimanapun, pengalihan utiliti bukan hanya melibatkan pemindahan tiang serta aset elektrik, malah turut melibatkan kabel telekomunikasi dan aset-aset utiliti lain yang berada dalam jajaran pembinaan.
"Pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal kerana kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
"Oleh itu, utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan.
"Proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset, malah merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta 2 pelaksanaan kerja-kerja pengalihan.
"Sehubungan itu, proses ini memerlukan koordinasi yang rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna," katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Ir. Chin Shu Ying dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ketujuh Belas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.
Menurut Joachim, selain itu, faktor-faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu-isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor turut mempengaruhi kemajuan projek mengikut pakej masing-masing.
"Bagi menangani isu-isu tersebut, kerajaan telah memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan mesyuarat penyelarasan secara berkala di peringkat tapak.
"Isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi seperti Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan sebagai langkah penambahbaikan bagi pelaksanaan projek infrastruktur pada masa hadapan, kerajaan turut memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja-kerja awalan, khususnya penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti, sebelum projek pembinaan dimulakan.
"Pendekatan ini membolehkan isu-isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan," jelasnya.
Joachim menambah, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah secara berterusan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan Negeri Sabah./Penerangan-

Comments
Post a Comment