Peniaga Kecil Sulaman Bakal Terima Bantuan Tunai RM3000

 Wartawan: Nur Azean Makbul
 Jurufoto:  
Siti Suhaila Batun

Hajiji ketika menyampaikan ucapan perasmian.

TUARAN : Peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di kawasan Sulaman akan diberi bantuan tunai RM3000 setiap seorang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah untuk menyenaraikan peniaga-peniaga kecil di kawasan tersebut supaya bantuan itu dapat diagihkan.                                            

“Sebagai wakil rakyat di kawasan Sulaman, saya telah meminta pihak Pegawai Daerah untuk menyenaraikan para peniaga kecil, termasuk mereka yang menjalankan perniagaan secara sambilan di bahu-bahu jalan dan di kampung-kampung dalam kawasan Sulaman. 

"Saya faham akan keperluan peniaga-peniaga kecil yang amat memerlukan bantuan sedemikian.

"Saya berharap agar senarai tersebut dapat disampaikan kepada saya supaya bantuan ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan layak untuk menerima bantuan," katanya ketika merasmikan Program Karnival Usahawan & STEM X Challenge 2026 Sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Lok Batik, di sini pada Ahad.

Hajiji (dua dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Kassim (kanan).

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program berkenaan signifikan kerana ia membantu usahawan-usahawan kecil dalam perniagaan mereka.

"Ianya memberi semangat dan peluang kepada usahawan kecil terutama golongan muda untuk meneruskan aktiviti harian.

"Kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan terutama usahawan muda agar mereka dapat bergerak maju," ujarnya.

Hajiji (belakang, empat dari kiri) merakam gambar kenangan bersama pasukan Bola Sepak Wanita Sabah.

Mengulas mengenai STEM X Challenge, beliau menyatakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting di zaman moden ini.

"Penting untuk anak-anak kita menguasai STEM kerana ia amat diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan tentunya dalam pembangunan negara dan masyarakat.

"Sukan menuntut disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang tinggi, begitulah juga bidang STEM dan keusahawanan memerlukan sifat yang sama untuk mencapai kejayaan," tambahnya.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Julai itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan usahawan tempatan, Jualan Rahmah, pertandingan robotik dan permainan sempena kemeriahan Final Piala Dunia FIFA 2026, pameran serta persembahan kebudayaan.

Kassim ketika menyampaikan ucapan aluan.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd, Datuk Jasnih Daya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit, ADUN dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali yang juga penganjur program, Pegawai Daerah, Ibrahim Terki dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Noraidin Ag. Maidin./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar

PUSPA VOICE 2.0 Tonjol Bakat Seni Suara Wanita Sabah