Simfoni Sakinah Rai 10 Pasangan Pengantin, Beri Pengalaman Eksklusif
Wartawan : Nazri Ramshah
Jurufoto : Rednny Rasang

Arifin (tiga dari kanan) menyampaikan sijil dan kad kahwin kepada pasangan pengantin.
KOTA KINABALU : Seramai 10 pasangan pengantin baharu diraikan dalam Majlis Simfoni Sakinah dengan memberikan pengalaman cukup berharga dan eksklusif buat pasangan yang terlibat.
Program penyatuan dua jiwa itu merupakan julung kalinya diadakan bagi menyantuni dan memudahkan urusan pasangan pengantin baharu di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, acara itu menjadi lebih bermakna apabila majlis pernikahan setiap pasangan dikendalikan secara langsung oleh barisan tokoh agama terkemuka negeri.
"Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) ini memberi pengalaman yang cukup berharga dan eksklusif buat pasangan yang diraikan selain diadakan di lokasi berprestij.
"Acara ini amat bersejarah. Pasangan yang diraikan hari ini sangat bertuah kerana jurunikah mereka adalah Pengarah JHEAINS sendiri, khutbah nikah dibaca oleh Timbalan Mufti, manakala doa dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri.
"Lebih istimewa lagi, kita mempermudah urusan pengantin dengan menyerahkan sijil dan kad nikah sebaik sahaja selesai lafaz akad nikah pada majlis yang sama," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Simfoni Sakinah yang diadakan di sini, pada Ahad.
![]() |
| Suasana akad nikah berlangsung. |
![]() |
| Arifin (tengah) ketika ditemui media. |
![]() |
| Arifin (tiga dari kanan) menyampaikan sijil dan kad kahwin kepada pasangan pengantin. |
Mengulas mengenai penyertaan, Arifin yang juga Exco Agama berkata inisiatif itu tidak hanya tertumpu kepada warga bandaraya, malah penganjuran kali ini turut menarik penyertaan pasangan dari pelbagai daerah termasuk Sandakan, Keningau, Kota Belud dan Papar.
Melihat kepada kejayaan penganjuran sulung tersebut, beliau optimis acara itu akan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan pada masa akan datang dan menaruh harapan agar ia dijadikan sebagai acara tahunan.
"Pihak JHEAINS juga akan menjalankan kajian berhubung cadangan untuk memperluas penganjuran program berkenaan ke daerah atau peringkat bahagian yang lain pada masa hadapan sekiranya terdapat lokasi yang bersesuaian," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan buat semua mempelai agar menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan bagi membina keluarga yang harmoni.
"Tanggungjawab sebagai suami dan isteri amat penting dalam mendepani kehidupan masa depan, khususnya untuk melahirkan generasi serta zuriat yang soleh dan solehah. Itulah amanah dan tanggungjawab utama kita kepada Allah SWT, keluarga dan masyarakat," katanya.
Antara yang turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Pengarah JHEAINS, Datuk Awang Juri Ag Tahir dan Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin./Penerangan-



Comments
Post a Comment