SIBEC 2024 Dijangka Dirasmikan Anwar September Depan

Wartawan    : Hamidah Len
Jurufoto        : 
Azman Jumat


Kota Kinabalu : Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September depan. 


Hajiji (tengah) ketika pelancaran portal SIBEC 2024.


Hajiji (dua kiri) bersama Anifah (kanan) dalam Majlis Kick Off SIBEC 2024.

Majlis pelancaran portal rasmi SIBEC 2024 disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyaksikan pertukaran surat niat antara kerajaan negeri dan organisasi-organisasi sokongan di Menara Kinabalu, pada Rabu.

Surat niat disampaikan oleh Hajiji kepada Lembaga Pelabuhan Sabah, Invest Sabah Sdn Bhd, Sawit Kinabalu Sdn Bhd, Qhazanah Sabah Berhad dan Sabah Electricity Sdn BHD, PETRONAS, The Asia Foundation – Malaysia, Sabah Credit Corporation Bhd dan POIC Sdn Bhd, SEDCO, SEDIA, Sabah Energy Sdn BHD dan KKIP Sdn Bhd yang juga organisasi sokongan serta Maritime Institute of Malaysia sebagai rakan strategik. 


Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan (tiga kanan) menerima  Surat Niat Kerjasama daripada Hajiji.

 Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman menerima Surat Niat Kerjasama daripada Hajiji.


Hajiji berpandangan ekonomi biru adalah sebagai satu inisiatif baharu untuk meneroka khazanah laut untuk pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjana hasil negeri pada masa akan datang.

Dalam lawatan pelaburan sulungnya ke Shenzhen, China pada November tahun lalu, beliau telah menjemput pelabur ke Sabah untuk meneroka ekonomi biru dengan kerjasama kerajaan negeri, memandangkan potensi yang ada dalam bidang ini untuk perkongsian menang-menang.

Beliau berkata ekonomi biru terdiri daripada empat komponen utama iaitu penuaian sumber hidup (makanan laut dan bioteknologi marin) serta pengekstrakan sumber bukan hidup dan penjanaan sumber baharu (mineral, tenaga dan air tawar).

Selain itu, ekonomi biru juga melibatkan sektor komersil dan perdagangan dalam dan sekitar lautan (pengangkutan dan perdagangan, pelancongan dan rekreasi) di samping tindak balas terhadap cabaran kesihatan lautan (pemantauan dan pengawasan lautan, penyerapan karbon, perlindungan pantai dan pelupusan sisa).

Terdapat 14 industri di bawah empat komponen utama antaranya akuakultur, perikanan, farmaseutikal, kimia, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, perkapalan, karbon biru dan perlindungan dan pemulihan habitat.


Hajiji (sepuluh dari kiri), bergambar kenangan bersama para penerima Surat Niat Kerjasama kepada Supporting Organisers (SIBEC) 2024.

SIBEC 2024 adalah susulan kepada SMJ EKOB 2023 Synédrio SMJ bertemakan "Beyond Limits, Unleashing Economy" yang diadakan pada 14 Disember tahun lalu dengan penceramah antarabangsa berkongsi kepakaran dalam konsep ekonomi biru selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

Turut hadir, Pengerusi Invest Sabah Berhad, Senator Datuk Seri Anifah Aman (kanan) merangkap Penasihat Khas Hubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah, Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED) dan menteri-menteri kabinet dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong.

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar