Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan
Wartawan: Hamidah Len
Foto: Istana Seri Kinabalu/Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir
KAHERAH: Pelajar Sabah di Timur Tengah diharap menjadi duta pendidikan dengan membawa pulang ibrah dan ilmu pengetahuan yang diperoleh untuk berbakti kepada Negeri di Bawah Bayu.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata pembangunan sebenar Sabah bukan hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan besar sebaliknya menekankan pembangunan modal insan yang berteraskan pendidikan, nilai dan integriti.
| Tun Musa ketika berucap di Majlis Mahabbah Bersama Pelajar Sabah di Mesir. |
“Seorang sarjana sejati bukan sekadar menghafal ilmu, tetapi mampu menterjemahkannya untuk kemaslahatan rakyat. Binalah jaringan kerjasama dengan rakan antarabangsa dan manfaatkan peluang di sini untuk mencapai kejayaan,” tegasnya.
Pada majlis sama, Tun Musa menyempurnakan penyampaian Sumbangan Tunai Mahasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MISBAH).
| Tun Musa (berdiri, lima dari kiri) dan Toh Puan Faridah (berdiri, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan. |
Turut berlangsung penyampaian sumbangan kewangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Badan Kebajikan Penuntut Sabah di Mesir (BKPSM), Sumbangan Aktiviti Persatuan Mahasiswa Sabah (SEMESTA) kepada Majlis Mahasiswa Sabah Jordan (MMSJ) dan BKPSM selain sumbangan Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Kumpulan Yayasan Sabah bagi pembelian kelengkapan asrama di Kaherah.
Majlis yang dihadiri 350 pelajar itu turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih serta Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin./Penerangan-
Comments
Post a Comment