Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM

Wartawan    : Noorsiah Mahmud 
Jurufoto        : 
Azman Jumat


Darwis (kanan) dan Ahmad (kiri) ketika ditemui media.

KOTA KINABALU : Pengorbanan seorang bapa, Darwis Tahere, 47, membuahkan hasil apabila anak keduanya muncul sebagai pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Kebangsaan.

Menurut Darwis, keputusan meletak jawatan sebagai penyelia di Ladang Mostyn Sime Darby, Kunak itu dibuat demi memastikan pendidikan anak-anaknya terjaga. 

"Ketika anak-anak masih kecil, mereka selalu tidak hadir sesi persekolahan berikutan kekangan pengangkutan dan jarak rumah yang jauh dari sekolah. 

"Masa bekerja dulu, kita terikat dengan masa. Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti dan berinfak diri fokus kepada pendidikan anak-anak.

"Kami korbankan pekerjaan dan mula bekerja sendiri.

"Kini saya menyara keluarga dengan mengajar al-Quran kepada anak-anak di sekitar tempat tinggal dan mengusahakan perniagaan homemade piza dan bakeri sendiri di Kunak," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan (MAKePS) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2025 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, dalam mendidik anak-anak, keutamaan bukan hanya kepada kecemerlangan akademik tetapi juga pembentukan sahsiah berlandaskan ajaran al-Quran.

 Ahmad Mursyied Umair (kanan) menerima anugerah yang disampaikan oleh Mohd Hanafiah (tengah).


Shofriza ketika ditemui media.

Sebahagian daripada penerima dan ibu bapa yang hadir program tersebut.



"Bila ada al-Quran, anak-anak mudah dibentuk dan hatinya menjadi lunak. Kejayaan abangnya ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain," katanya.

Darwis turut berkongsi anak sulungnya kini melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di Jordan.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu, Ahmad Mursyied Umair berkata, rahsia kejayaannya terletak pada prinsip menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

"Kalau kita sentiasa menjaga dua hubungan ini, Insya-Allah, Allah akan beri kita kejayaan.

“Selain itu, jangan belajar pada saat akhir. Belajar sedikit tidak mengapa, asalkan konsisten dan ada jadual terancang.

"Dalam STPM masanya singkat, jadi setiap sesi pembelajaran perlu ada matlamat," katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, Pengetua SMKA Kota Kinabalu, Shofriza Washlaini Muhammad Iyen meluahkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang Ahmad Mursyied yang disifatkan berdisiplin tinggi dan melazimkan al-Quran sepanjang tempoh pengajian.

"Semasa di Tingkatan Enam, beliau memang menunjukkan prestasi yang amat cemerlang. Saya juga sering menyatakan dalam mesyuarat akan ada pelajar dari sekolah ini akan muncul cemerlang di peringkat kebangsaan dan Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan.

"Beliau turut khatam 30 juzuk al-Quran sejak SPM lagi," tambahnya. 

Seramai 180 pelajar Sabah cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) diraikan dalam majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan