Acara Kebudayaan Meriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026

Wartawan    : Abdu Azmie Mohd Ibrahim
Jurufoto        : Johnny Joklis 




Tun Musa (tengah) bergambar kenangan bersama Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2026. 


Tun Musa (tengah) bergambar kenangan bersama Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2026. 
KOTA KINABALU : Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 bakal dimeriahkan dengan pengisian pelbagai program kebudayaan dan kesenian tradisional yang kini sedang rancak berlangsung di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, sebahagian besar daripada program yang diatur oleh jawatankuasa pelaksana telah berjalan dengan lancar, malah ada yang kini menghampiri peringkat akhir perayaan.

Beliau menjelaskan, program-program tersebut merangkumi aktiviti berteraskan kebudayaan warisan etnik Sabah serta pertandingan khusus di peringkat sekolah.

"Antara pengisian utama yang sedang berjalan termasuklah Pertandingan Hiis, Manangon iaitu bercerita dalam bahasa etnik Sabah serta Konsert Kaamatan KDCA-ISEP.

"Bagi pertandingan Sugandoi atau nyanyian dalam bahasa ibunda yang sentiasa mendapat sambutan hangat, ia telahpun selesai sepenuhnya," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.


Joachim ketika ditemui media.

Jeffrey (lima dari kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Tun Musa (tengah).



Joachim (kiri) menjemput Tun Musa (kanan) ke Penutupan Pesta Kaamatan 2026.


Mengulas mengenai kunjungan tersebut, beliau berkata ia bertujuan menjemput Tun Musa bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 31 Mei nanti di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Joachim turut memaklumkan pada 27 Mei bakal menyaksikan penganjuran pertandingan akhir Randawi Tavantang Kaamatan, sebelum tirai perayaan diakhiri dengan acara kemuncak iaitu pertandingan akhir Unduk Ngadau pada 31 Mei ini.

Beliau mengesahkan tahap siap siaga jawatankuasa induk kini berada pada tahap sepenuhnya bagi memastikan kelancaran seluruh program yang telah dijadualkan.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ekoran ruang tempat letak kenderaan yang terhad.

"Perkhidmatan bas percuma juga disediakan yang boleh dinaiki dari pusat beli-belah Imago dan Suria Sabah untuk ke lokasi utama acara.

"Kami juga berharap agar perayaan ini disambut dengan penuh berhemah serta mengutamakan keselamatan di jalan raya," ujarnya.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Ridhwan Roger Linus dan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar