Kerajaan Komited Laksana Tuntutan MA63
Wartawan: Abdu Azmi
Jurufoto: Johnny Joklis/Mohd Sazwan Roslan
PENAMPANG : Kerajaan persekutuan komited melaksanakan tuntutan seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut di bawa ke Jemaah Menteri dan dilafazkan di Parlimen, Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus untuk negeri Sabah.
"Saya minta segera untuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan berbincang secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan perkara ini.
"Dasar kerajaan MADANI pimpinan saya yang menetapkan tiada lagi hujah, ianya adalah polisi yang perlu dilaksanakan," katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, pada Sabtu.
Anwar (empat dari kiri) bersama para hadirin berdiri menyanyikan lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku.
Jelasnya, setiap keputusan dan nilainya harus dicerakin dengan terperinci dengan pihak-pihak yang terlibat seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama Menteri Kewangan II, agar meneliti dan mengambil masa serta tidak menolak kenyataan dana harus diberikan.
"Sebaik sahaja ada kerangka awal, ia mesti dibawa kepada jawatankuasa kewangan dan kabinet, dalam rangka itu mesti ada perbincangan yang lebih teliti selain daripada aspek perundangan serta tidak disalah anggap untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya.
"Sama ada bulan Jun atau Disember, itu soal yang harus ditentukan oleh kedua-dua jawatankuasa Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan rundingan persekutuan dan negeri," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan bayaran interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil persekutuan diberi kepada kerajaan negeri.
"Untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion, saya tegaskan ini interim dan ianya harus dimuktamadkan," tambahnya.
Anwar turut memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana mengamalkan dasar yang memberi fokus kepada pembangunan, penyediaan prasarana yang baik serta keamanan dan kesejahteraan negeri.
"Dasar ini menyebabkan Sabah memperoleh peningkatan dalam industri pelancongan kerana antara faktornya seperti penambahan prasarana di lapangan terbang Kota Kinabalu dan difahamkan penerbangan ke Tawau juga sudah meningkat.
"Pertumbuhan Sabah melepasi unjuran biasa dan mencatat pembangunan yang membanggakan," katanya.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri-menteri Kabinet negeri dan persekutuan, Timbalan-timbalan Menteri persekutuan, Pembantu-pembantu Menteri negeri serta Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan negeri./Penerangan-

Comments
Post a Comment