200 Peniaga Kecil, Penjaja Tepi Jalan Terima Bantuan Tunai RM3,000

 Wartawan: Deonalisa Jekee Edin

Jurufoto: Shahvian Mohd Razali


TUARAN : Seramai 200 peniaga kecil dan penjaja tepi jalan daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit menerima bantuan tunai RM3,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha yang beliau laksanakan itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan rakyat di Sulaman selama 36 tahun beliau mewakili Sulaman, termasuk lima tahun sebagai Ketua Menteri.

"Pada hari ini, seramai 200 peniaga kecil dan penjaja tepi jalan menerima bantuan tunai RM3,000 melalui peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji bagi tahun 2026.

"Saya sedaya upaya membawa kemudahan kepada rakyat di Tuaran, lebih-lebih lagi di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada DUN Sulaman seperti jalan kampung dan aktiviti ekonomi untuk manfaat rakyat. 

Hajiji ketika menyampaikan ucapan. 

"Sumbangan ini bertujuan meringankan beban kos ditanggung peniaga kecil di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit dalam menjana pendapatan untuk keluarga. 

"Ini adalah bantuan tunai Sentuhan Kasih dari saya, setiap tahun ada bantuan kepada peniaga kecil-kecilan ini kerana saya prihatin. 

"Program ini termasuk dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan inilah antara asas yang perlu kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bagi Kawasan N.12 Sulaman dan N.13 Pantai Dalit Sesi 2026-2030 serta Penyerahan Bantuan kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026 di Dewan Seri Sulaman di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Pengerusi JKKK supaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai mata dan telinga yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan, termasuk berusaha menyatupadukan rakyat di peringkat akar umbi.

"Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan melakukan aktiviti yang membawa kemajuan contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong royong di kampung.

KENANGAN...Hajiji (depan, tengah) bergambar kenangan bersama penerima bantuan dan semua yang hadir.

"Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita. 

"Bukan soal semata-mata memohon projek dan lain-lain tapi perkara asas merapatkan silaturahim, kekeluargaan di kampung, gotong-royong, adakan perjumpaan selalu bukan sahaja dengan ahli jawatankuasa, tapi juga orang kampung dalam melahirkan masyarakat bersatu-padu," ujarnya.  

Pada majlis itu, seramai 48 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Sulaman dan 45 Pengerusi JKKK bagi kawasan DUN Pantai Dalit menerima watikah pelantikan bagi tempoh perkhidmatan 2026 hingga 2030.  

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, ADUN Dilantik, Datuk Abdul Kassim Jali @ Razali, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Myrna Jimenez dan dan Pegawai Daerah, Ibrahim Terki./Penerangan-



Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM