68 Warga Kementerian Komunikasi Terima APC

 Wartawan: Siscalistorina Janius

Jurufoto: Johnny Joklis/Shahvian Mohd Razali/Mohd Sazwan


KOTA KINABALU : Seramai 68 warga Kementerian Komunikasi menerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) bagi tahun 2025. 

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2026 Kementerian Komunikasi Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan bersempena pengisian lawatan sehari beliau ke Sabah.

Pada majlis itu, seramai 40 penerima merupakan kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), diikuti 23 kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), empat kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) serta seorang kakitangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

SWAFOTO...Fahmi berswafoto dengan para penerima APC.

Menurut Fahmi, penganjuran majlis berkenaan bagi Zon Sabah dan W.P Labuan merupakan satu usaha kementerian untuk memberikan penghargaan secara langsung kepada warga kerjanya yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.

“Pertama sekali, kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana diberikan kesihatan, ruang dan peluang untuk bersama pada pagi ini.

"Kecemerlangan tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini harus menjadi pembakar semangat, tetapi kita juga tahu kadangkala pada satu-satu masa cuma sejumlah ini yang diberikan APC.

"Kecemerlangan yang ditunjukkan penerima APC perlu menjadi pembakar semangat kepada warga kementerian yang lain untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing.
KENANGAN...Fahmi (tengah,duduk) bergambar kenangan bersama penerima APC dan tetamu yang hadir.

"Semoga penerima menjadi inspirasi kepada semua yang belum menerima supaya peluang mereka ada pada masa hadapan.

"Ada 40 orang daripada RTM yang mendapat APC, ramai juga daripada Jabatan Penerangan dan beberapa agensi ini merupakan tiang seri kepada Kementerian Komunikasi," jelasnya ketika berucap dalam majlis berkenaan yang berlangsung di sini, pada Isnin. 

Beliau berkata kecemerlangan yang ditunjukkan penerima APC diyakini mampu memperkukuh pasukan Kementerian Komunikasi secara keseluruhan untuk terus bergerak lebih mantap dan cemerlang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Abdul Halim Hamzah, Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Pengurusan di Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM Malaysia, Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Suwadi Guliling./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM