Istiadat Konvokesyen IPDAS Ke-20 Rai 338 Graduan
Wartawan : PPD Keningau
Jurufoto: PPD Keningau
KENINGAU : Seramai 338 graduan diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Ke-20 Tahun 2026.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman ketika menyampaikan perutusannya berkata, kejayaan itu adalah rahmat daripada Allah S.W.T, hasil daripada usaha gigih serta pengorbanan yang tidak mengenal erti putus asa bukan hanya daripada para graduan, tetapi juga daripada ibu bapa dan keluarga.
"Syabas diucapkan kepada ibu bapa dan keluarga yang telah menjadi tulang belakang, memberikan sokongan, dorongan dan doa yang tidak pernah jemu kepada anak-anak sehingga berjaya sampai ke hari bersejarah ini.
SUASANA...Suasana para graduan di dalam dewan sepanjang berlangsungnya Istiadat Konvokesyen IPDAS Ke-20.
"Pembentukan modal insan berteraskan bidang pengajian islam merentasi proses penyampaian ilmu kerana pengajian Islam sangat menitikberatkan pembentukan akhlak, nilai insaniah dan jati diri kenegaraan.
"Acuan ini selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan insan sebagai tunjang kemajuan negeri dan gagasan Malaysia MADANI yang menjunjung nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan," katanya ketika menyampaikan perutusan dalam istiadat berkenaan yang berlangsung di Dewan Tun Sakaran, IPDAS di sini, pada Selasa.
Dalam majlis tersebut, Tun Musa turut menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada salah seorang graduan, Norasmah Abdul Wahid.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee./Penerangan-
Tun Musa (tengah) bergambar kenangan pada istiadat tersebut.


Comments
Post a Comment