KMJG Perluas Semangat Patriotisme Di Kalangan Komuniti Perniagaan
Wartawan: Afisya
Jurufoto: Marusin Minudin
PENAMPANG : Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) terus memperluaskan lagi semangat patriotisme dengan melibatkan komuniti perniagaan dalam Program Langkah Jiwa Merdeka.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, program berkenaan dapat memupuk semangat kekitaan kerana setiap rakyat mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam membangunkan negara.
"Saya percaya pengisian seperti ini dapat menerapkan semangat kekitaan dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti, sama ada yang berkhidmat dengan kerajaan, berniaga sendiri ataupun bekerja dalam pelbagai sektor.
"Tanpa kesatuan, perpaduan, keharmonian dan persefahaman antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku, etnik, agama, bahasa, kebudayaan dan adat resam, sudah tentu tidak mudah untuk kita membina dan membangunkan negara ini," katanya ketika ditemui media selepas Program Langkah Jiwa Merdeka peringkat daerah Penampang di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, KMJG bukan sekadar menunjukkan rasa cinta kepada negara, malah memupuk kerjasama, perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku, etnik, agama, bahasa, kebudayaan dan adat resam.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan sempat menyantuni penjaja dan orang awam sekitar Pekan Donggongon selain mengagihkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sebagai simbolik menyokong kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Beliau turut mengetuai laungan Merdeka di Tugu Peringatan, diikuti penyerahan Kit Jalur Gemilang dan Bendera Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Penampang sebelum menyempurnakan pelepasan di Tokong Fook Tek Kung.
Turut sama dalam program tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog, Datuk Donald Peter Majuntin dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor./Penerangan-
Comments
Post a Comment