MIH Pusat Inovasi Petani, Usahawan Tempatan Komuniti Moyog

 Wartawan: Afisya

Jurufoto: Marusin Minuddin


PENAMPANG : Moyog Innovation House (MIH) menjadi tumpuan sebagai pusat inovasi petani dan usahawan tempatan sekitarnya.

Pengasas MIH, Juddy Lasius berkata, pusat berkenaan menjadi ruang komuniti setempat untuk berkumpul, belajar dan menjalankan pelbagai latihan, bengkel serta aktiviti berkaitan inovasi hasil tani serta kitar semula alam sekitar.

"MIH merupakan lokasi untuk mengembangkan hasil tani kepada produk hiliran bernilai tinggi antaranya roselle, teh herba menggunakan serai, pandan dan halia, selain sos kantan tuhau serta sos nanas.

"Di MIH, kami mengajar petani-petani di Moyog menanam roselle dan seterusnya mengajar mereka bagaimana menginovasikan roselle untuk dijadikan produk.

KENANGAN...Peserta konvoi KMJG 2026 bergambar kenangan bersama Komuniti MADANI. 

"Jadi petani ini bukan hanya petani sahaja tetapi mereka juga menjadi seorang usahawan yang boleh menginovasikan produk roselle itu sendiri," katanya ketika ditemui sempena persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di MIH, pada Rabu.

Juddy berkata MIH turut mempunyai sebuah pusat pemprosesan kecil yang membolehkan golongan wanita di sekitar kawasan berkenaan memanfaatkan kemudahan mesin yang disediakan dengan bayaran minimum.

Katanya, pada 2019 beliau menerima mesin daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan menggunakannya untuk mengembangkan penghasilan produk di MIH.

"Bagi mereka yang tiada mesin tetapi ada niat untuk membuat produk, mereka boleh datang ke sini dan menggunakan mesin kami dengan bayaran minimum," ujarnya.

SUASANA...Antara suasana ketika program sedang berlangsung.

Sementara itu, Juddy menyifatkan pemilihan MIH sebagai salah satu lokasi persinggahan konvoi KMJG 2026 merupakan peluang untuk memperkenalkan lagi pusat berkenaan serta usaha komuniti Moyog kepada masyarakat luar.

Beliau berkata kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sempena program itu turut memberi semangat kepada komuniti setempat.

"Kami sangat teruja kerana dipilih untuk menjadi persinggahan konvoi KMJG dan saya sangat bersyukur dapat berjumpa ramai daripada agensi kerajaan serta JKKK kampung yang datang.

"Dengan adanya program seperti ini, ia boleh membantu kami mempromosikan lagi Moyog Innovation House ke luar sana," tambahnya.

SUASANA...Suasana ketika demonstrasi membuat jeruk bambangan. 

Sempena persinggahan tersebut, bangunan MIH yang berusia kira-kira 50 tahun turut diceriakan semula oleh peserta konvoi, sekali gus memberi nafas baharu kepada lokasi yang menjadi ruang pembelajaran dan inovasi komuniti berkenaan. 

Terdahulu, konvoi KMJG 2026 turut menyantuni warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan pihak Majlis Perbandaran Penampang (MPP), selain melaksanakan penyerahan Kit Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai simbolik menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang./Penerangan-



Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM