Reformasi Kehakiman Syariah Perlu Bagi Memelihara Kesejahteraan Rakyat - Tun Musa

 Wartawan: Abdu Azmi Mohd Ibrahim/NSAB

Jurufoto: Rednny Rasang


KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menekankan kepentingan pelaksanaan reformasi dan transformasi menyeluruh dalam institusi kehakiman Syariah.

Beliau berkata, reformasi perundangan Syariah tidak hanya tertumpu kepada perubahan struktur atau sistem semata-mata, sebaliknya merangkumi pengukuhan institusi, peningkatan tahap profesionalisme, serta pemantapan budaya kerja berteraskan amanah dan integriti.

"Peranan Mahkamah Syariah semakin mencabar berikutan pelbagai cabaran sosial masa kini.

"Isu berkaitan kekeluargaan, hak wanita dan kanak-kanak, nafkah, serta pewarisan memerlukan penyelesaian berasaskan undang-undang yang diimbangi nilai ihsan, kebijaksanaan, dan kemaslahatan rakyat.

Tun Musa (tengah) bergambar kenangan bersama dif-dif kehormat sejurus tiba pada program tersebut.

"Kecemerlangan Mahkamah Syariah tidak dinilai daripada jumlah kes yang diselesaikan semata-mata, tetapi keupayaannya memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa keadilan dapat ditegakkan secara telus, berkesan, dan bermaruah.

"Reformasi ini penting bagi memastikan institusi kehakiman Syariah kekal relevan, berwibawa, serta mampu memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat." katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah 2026 bertemakan 'Transformasi dan Reformasi Perundangan Syariah: Memacu Kecemerlangan Mahkamah Syariah Negeri Sabah' yang berlangsung di sini, pada Rabu. 

Tun Musa semasa berucap merasmikan program tersebut.

Mengulas mengenai usaha reformasi di peringkat negeri, Tun Musa memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Sabah apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026 melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Julai lepas.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan langkah julung kali diadakan di Sabah dalam memperkasa pengurusan harta pusaka orang Islam, sekali gus membuktikan komitmen negeri menerajui pembaharuan perundangan Syariah yang dinamik dan moden.

Tun Musa turut menyambut baik penerbitan Buku Penghakiman Syariah Sabah yang menghimpunkan koleksi Alasan Penghakiman Mahkamah Syariah Negeri Sabah sebagai rujukan penting buat para hakim, pengamal undang-undang, serta ahli akademik.

Suasana para peserta semasa program sedang berlangsung.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM