TVET Perlu Diperkukuh Selaras Perubahan Teknologi, Keperluan Industri
Wartawan : Norsiah Mahmud
Jurufoto : Johny George Kimlon
PENAMPANG : Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkukuh selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol berkata, kemajuan teknologi, kecerdasan buatan, automasi dan inovasi sedang mengubah landskap pekerjaan.
"Negara memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, menguasai teknologi baharu dan terus meningkatkan kompetensi sepanjang kerjaya.
"Bagi memastikan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0 melalui kerjasama lebih erat dengan industri.
"Sehingga kini, KBS telah memeterai 180 jalinan kerjasama termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik industri dari pelbagai bidang yang masih aktif.
"Kerjasama ini menjadi pemangkin kepada latihan yang lebih berkualiti, berorientasikan industri dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan ILKBS,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Sabah Ke-18 Tahun 2026 yang diadakan di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, IKBN Kinarut terus memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat TVET yang berkemahiran dan berdaya saing.
"IKBN Kinarut akan terus memperkukuh kualiti latihan, memperluas kerjasama strategik dengan industri serta memastikan setiap graduan bersedia menghadapi cabaran pekerjaan yang sentiasa berkembang.
"Dengan sokongan kerajaan, komitmen warga IKBN Kinarut serta kerjasama erat bersama industri, saya yakin kita akan terus muncul sebagai institusi TVET pilihan dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi negara," ujarnya.
Tambahnya, usaha memperkukuh TVET turut menjadi antara agenda kerajaan dalam memastikan Pendidikan Kemahiran terus memenuhi tuntutan semasa.
"Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem TVET agar kekal relevan, berkualiti dan responsive terhadap perubahan teknologi dan keperluan industri.
"Saya berharap graduan IKBN Kinarut akan menjadi duta kepada kecemerlangan negara dengan membuktikan Pendidikan Kemahiran mampu melahirkan tenaga professional, usahawan dan pemimpin industri yang berdaya saing dan berakhlak," tambahnya.
Pada istiadat itu, seramai 153 graduan daripada tujuh bidang kemahiran iaitu Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara Domestik, Geomatik dan Ukur Tanah, Pendawaian Elektrik (PW2 dan PW4), Penjaga Jentera Elektrik A1, Penjaga Elektrik A4 serta Pelukis Pelan Senibina dirai selepas berjaya menamatkan latihan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan, Chan Chong Jin, Pengarah Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Shukri Ismail dan Pengarah IKBN Kinarut, Zuarini Ismail./Penerangan-
Comments
Post a Comment