Sabah Sasar Kutip 40 Pingat Emas

 Wartawan        : Deonalissa Jekee Edin

Jurufoto            : Johny George Kimlon

KOTA KINABALU : Sabah menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 di Sarawak Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh para atlet beliau yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai.

 Ellron ketika ditemui media.

"Setakat ini, atlet yang kita latih ada 1,000 lebih tapi kita akan buat pemilihan dan jumlah dijangka akan turun ke 700 lebih.

"Persiapan memang sudah mula dari tahun lalu lagi dan mudah-mudahan sasaran itu dapat dicapai.

GIMIK...Ellron (kiri) menyumpit belon sebagai gimik perasmian.

"Antara acara yang kita sasarkan emas adalah acara renang dan kombat seperti taekwondo, karate dan lain-lain.

"Kita mengharapkan atlet-atlet yang sudah tersenarai untuk mewakili Sabah ini dapat meneruskan latihan mereka dengan gigih dan penuh disiplin dan diharapkan bukan sahaja kita melihat sasaran itu dapat dicapai tetapi mungkin ada kejutan daripada acara yang tidak kita jangka nanti," ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Sukan Perpaduan 2024 KBS Malaysia dan KBS Sabah di Kompleks Sukan Likas, pada Ahad.

CENDERAMATA...Ellron (tiga dari kanan) menerima cenderamata daripada Nagulendran (tiga dari kiri).

Dalam pada itu, Ellron berharap agar penganjuran sukan perpaduan di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan KBS Sabah itu dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan yang terlibat.

"Saya berharap dengan adanya pertemuan dan juga kolaborasi di antara KBS persekutuan dan juga negeri mudah-mudahan pengurusan apa juga yang melibatkan belia dan sukan akan dapat diuruskan dengan cepat," tambahnya.

Ellron menyampaikan piala kepada Johan Sukan Perpaduan iaitu KBS Malaysia.

Sukan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu itu disertai oleh seramai 125 pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS Malaysia, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Setiausaha Tetap KBS Sabah, Datuk Mansur Asun.

Ellron (baris kedua, empat dari kiri) bergambar kenangan bersama para pegawai dan kakitangan KBS yang mengambil bahagian dalam Sukan Perpaduan KBS 2024.

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri