Kerajaan Komited Perkasa Modal Insan Melalui Pendidikan - Hajiji

Wartawan :   Idris Sani Saberun
Foto : Mohd Sazwan Bin Roslan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memperkasakan pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorakkan masa hadapan negeri.

Jelas Hajiji, kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah telah membantu seramai 121,897 pelajar sejak 1967 hingga Jun 2024 yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.

Hajiji ketika menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar baharu UMS Sesi 2024/2025.

Ujar beliau, bagi meringankan beban pelajar-pelajar yang melanjutkan  pelajaran di Semenanjung, Sarawak dan Labuan kerajaan buat julung kalinya telah memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600 seorang kepada semua pelajar Sabah yang terlibat pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.

"Pada tahun 2023 kerajaan turut menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta kepada RM101 juta.

Suasana Lafaz Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 yang melibatkan 4,545 pelajar baharu.

"Selain daripada itu, inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) telah dilancarkan sebagai  inisiatif bagi  memperkasakan serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

"Ini adalah sebahagian dari inisiatif dan bantuan yang telah dirancang dan dilaksana oleh kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan di negeri ini melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang telah dirancang bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan negeri ini agar Sabah lebih maju ke hadapan," katanya.

Wakil pelajar baharu UMS ambilan Sesi 2024/2025, Putri Nurathirah Hirmizali daripada
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (kiri) ketika mengetuai Lafaz 
Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali Ke-30 UMS.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali Ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor, pada Selasa.

Dalam majlis yang sama, beliau turut berbangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan dan pusat rujukan di negeri dalam pelbagai aspek. 

Suasana Lafaz Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 yang melibatkan 4,545 pelajar baharu.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.

Hajiji yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan Negeri Sabah.

Hajiji (hadapan, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama barisan pengurusan, kakitangan akademik dan para pelajar baharu UMS sejurus majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali Ke-30 UMS.

"Justeru, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi," katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 4,545 orang pelajar baharu UMS  melafazkan ikrar dan aku janji di hadapan Pro Canselor dan Kakitangan Akademik UMS  sempena Minggu Suai Mesra sesi 2024/2025 kali ke-30 di dewan tersebut.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Naib Canselor UMS Profesor Datuk dr Kasim Mansor./Penerangan- 

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri