Jawatankuasa Pemantauan Khas Teliti Projek Pembangunan Lewat-Ewon

 Wartawan : Mohd Haizul Rohani 
 Foto :  Johny George Kimlon


PENAMPANG : Jawatankuasa Pemantauan Khas akan ditubuhkan untuk meneliti projek-projek pembangunan terutamanya yang lewat dilaksanakan di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya bermula Januari tahun depan.

Ewon (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kaca mata kepada salah seorang penerima. 


"Terdapat sekitar 400 projek lewat, belum mula atau bermasalah yang memerlukan kerjasama rapi daripada kerajaan negeri terutamanya jabatan-jabatan teknikal dan kontraktor kerana sebahagian daripada projek lewat itu berpunca daripada masalah kontraktor selain faktor cuaca, bencana banjir serta Covid.

"Ada yang saya maklum, kekangan kewangan kontraktor itu menjadi penyebab kepada kelewatan dan keterlambatan projek dan itu tidak seharusnya berlaku.


Sesi ramah mesra bersama masyarakat Penampang.


"Sebab itu saya mendukung supaya projek-projek ini dapat dibuat perolehannya secara tender kerana kita mengetahui syarikat mana yang mempunyai kapasiti kewangan yang boleh mengangkat pelaksanaan projek itu.


"Kita tidak mahu perkara sama yang berulang di mana projek itu diberikan secara terus berangkali dan akhirnya ada masalah yang berlaku menyebabkan projek itu lambat ataupun tertangguh untuk disiapkan daripada jadual sebenar," ujarnya.


Ewon (kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil St Catherine Laboure Church.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.174 Penampang yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Buhavan Square Donggongon, pada Sabtu.


Dalam majlis tersebut juga, Ewon menyampaikan dua sumbangan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM150,000 kepada Pertubuhan Pengurusan Kuil Subramaniar Kem Lok Kawi dan RM 200,000 kepada St Catherine Laboure Church Putatan.

Ewon (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Kuil Subramaniar.


Di samping itu, 113 murid Sekolah Kebangsaan Babagon, Sekolah Menengah Kebangsaan Limbanak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin turut menerima sumbangan kaca mata.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Chan Foong Hin./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri