Kerajaan Negeri Fokus Agenda Pembangunan Negeri Menjelang 2025-Hajiji
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Mohd Rizal Matasan/Mohd Sazwan Roslan
KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited meneruskan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat menjelang tahun 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ke arah itu, kerajaan akan memastikan ekonomi rakyat terus meningkat seterusnya memelihara perpaduan di kalangan rakyat Sabah.
"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) komited untuk meneruskan pembangunan dan mewujudkan lebih banyak ruang ekonomi kepada rakyat.
"Kita berusaha untuk memastikan perpaduan rakyat dan kestabilan politik sentiasa kekal supaya pertumbuhan ekonomi kita akan terus membangun," katanya semasa menyampaikan aspirasi dan harapan pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 (KKCD25) Kerajaan Negeri Sabah.
Lebih 10,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan tersebut yang diadakan di Jalan Tun Fuad Stephen Selasa lepas.
"Terima kasih kepada rakyat atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada kerajaan GRS-PH untuk menerajui negeri ini.
"Tahun 2024 adalah tahun yang baik untuk kita semua di mana kita telah meneruskan agenda sedia ada dan tetap teguh di landasan yang betul untuk mencapai apa yang dirancangkan.
"Dengan berlabuhnya tirai 2024 marilah kita memandang ke hadapan untuk memperbarui komitmen bagi meneruskan agenda pembangunan," ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Phoong Jin Zhe dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib./Penerangan-
Comments
Post a Comment