Sabah Terus Maju, Makmur di Bawah Naungan TYT Baharu

Wartawan : Zuraidah Ahmad

Foto : Johny G. Kimlon/Merusin Minuddin


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha dan berikhtiar untuk memajukan Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah juga akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.


Hajiji ketika menyampaikan ucapan taat setia.

“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan negeri Sabah yang tercinta.

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selama-lamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.


Hajiji (kiri) dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salah (kanan) merakamkan Gambar kenangan bersalaman Tun Musa dan Toh Puan Faridah.


Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada tahun 2024.

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang.

"Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan.

“Di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menghasilkan impak positif
dalam pertumbuhan ekonomi negeri. Perkembangan yang memberangsangkan ini
adalah sejajar dengan hala tuju yang dilancarkan hampir empat tahun yang lalu,” jelas beliau.


Hajiji juga memaklumkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat juga tetap menjadi agenda utama
kerajaan, justeru pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.


Selain itu ujar beliau, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi, juga tidak diabaikan, yang mana melalui program pembangunan modal insan, kerajaan menyediakan dana pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan.

“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun. Aspek keselamatan dan ketenteraman awam, akan terus diutamakan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat,”
dedah beliau.

Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa bin Haji Aman, sebagai Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11./Penerangan-


Tun Musa (lima dari kiri) dan Toh Puan Faridah (empat dari kanan) bersalaman Hajiji  (empat dari kiri) di meja santapan utama.



Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri