Sumbangan Tun Juhar Kepada Sabah Besar-Hajiji
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Foto : Mohd Sazwan Roslan
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah memberikan sumbangan yang besar kepada negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selepas 14 tahun, Tun Juhar adalah Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat dan memberi sumbangan yang begitu besar kepada Sabah.
“Tuan Yang Terutama Tun telah mencurah khidmat yang tiada tolok banding, yang menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan yang melibatkan kerencaman dan dinamika dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.
“Perkembangan ini berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-10 dan telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dan berjiwa besar.
"Peristiwa yang tercatat dalam sejarah Sabah antaranya termasuklah insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo pada 2013 dan merebaknya pandemik COVID-19 yang bermula pada akhir 2019 sehingga awal tahun 2022.
“Alhamdulillah, di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun, kita berjaya mengatasi cabaran ini,” kata Hajiji.
"Rakyat Sabah tidak kira bangsa, budaya, agama dan kepercayaan sentiasa menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada Tuan Yang Terutama Tun dan isteri Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam semua program awam yang mereka jayakan," ujar Hajiji lagi.
Hajiji berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Beliau turut berkata kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Sabah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Juhar atas kepimpinan cemerlang sepanjang 14 tahun memerintah dan mendoakan beliau serta Toh Puan Norlidah sentiasa baik dalam perjalanan mereka seterusnya.
Hadir sama dalam majlis tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Jeffrey G Kitingan, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya serta ahli kabinet kerajaan negeri./Penerangan-
Comments
Post a Comment