Kecemerlangan Kepimpinan Mantan KM Bantu Bangunkan Sabah - Hajiji

 Wartawan : Zuraidah Ahmad

Foto : Mohd Rizal Matasan/Mohd Sazwan Roslan


KOTA KINABALU: Kecemerlangan kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini, boleh dijadikan panduan dalam mentadbir dan membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata jasa dan bakti serta legasi Tun Musa pada masa lalu sebagai mantan Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri Sabah, dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan, sudah pasti membantu membangunkan lagi negeri ini.


Hajiji (lima dari kiri) dalam upacara ucap selamat.


“Sesungguhnya, pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti kepada negeri Sabah sebelum ini.

“Saya percaya dan berkeyakinan bahawa pelantikan itu, mampu mengangkat martabat negeri Sabah ke satu tahap yang lebih cemerlang, sesuai dengan pengalaman luas Tuan Yang Terutama Tun selama 15 tahun memimpin negeri ini di bawah kerajaan negeri yang terdahulu,” ujarnya.



Menurutnya, dengan rekod cemerlang itu, Hajiji yakin negeri Sabah akan lebih berupaya maju ke hadapan di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia sejak sekian lama.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan kekayaan dan keindahan alam semula  jadinya, dengan kekayaan nilai budaya dan adat tradisi suku kaumnya, Sabah berpotensi besar untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang untuk membangunkan negeri Sabah secara holistik dan inklusif, Insya-Allah objektif ini akan mudah dicapai berkat bimbingan serta panduan yang bakal diberikan oleh Tuan Yang Terutama sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, termasuk dalam dunia korporat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini, eratkan kerjasama, kukuhkan perpaduan, perbaharui azam dan iltizam agar cita-cita dan impian menjadikan Sabah lebih maju, aman dan sentosa, akan mudah tercapai.

Tun Musa dan Toh Puan Faridah melangkah masuk ke dewan.


“Melihat kepada cabaran yang mendatang, dengan suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu bagi tahun 2025 ini, selaku kerajaan negeri yang memerintah, selaku anggota penjawat awam yang menggerakkan jentera Kerajaan, dan selaku peneraju sektor swasta; ketiga-tiga entiti besar ini wajar mempertingkatkan kerjasama dan memperkukuhkan strategi ke arah mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat.

“Bersama-samalah kita berganding bahu, berusaha dan bekerja keras ke arah cemerlang dan gemilang mudah-mudahan negeri Sabah yang tercinta terus maju dan berjaya, aman dan sentosa,” jelas beliau.


Beliau berkata demikian sempena Majlis Jamuan Negeri bersama Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin di sini, pada Rabu.

Majlis yang dihadiri 1,000 orang itu dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu evergreen oleh barisan penyanyi tempatan dan paling menarik perhatian, persembahan oleh penyanyi terkenal tanah air, DJ Dave atau Datuk Irwan Shah Abdullah./Penerangan-

Tun Musa bersalaman dengan Speaker DUN, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya (kiri) dan diperhatikan oleh Hajiji (tengah).


Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri