Tamu Besar TBC Jalan Segama Kukuh Perpaduan, Rancakkan Ekonomi

 Wartawan    : Idris Sani Saberun
Jurufoto        : 
Mohd Rizal Matasan


KOTA KINABALU:  Tamu Besar sempena Tahun Baharu Cina (TBC) Jalan Segama mampu memperkukuhkan perpaduan kaum dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, acara tahunan anjuran kerajaan negeri melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu bukan sahaja meletakkan kepentingan terhadap masyarakat Tionghoa malah kepada komuniti lain.

"Inilah keunikan di Sabah sambutan Tahun Baharu Cina diraikan bersama semua lapisan masyarakat seperti Kadazan Dusun, Bajau dan pelbagai kaum lain.

"Ia melambangkan keharmonian dan kefahaman budaya antara rakyat negeri ini.

"Tradisi ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai simbol keharmonian yang unik di negeri ini," ujarnya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Tamu Besar TBC 2025 di Pasar Malam Jejantas Jalan Segama, pada Isnin.



Abidin (kanan) sempat bertanya khabar bersama salah seorang peniaga sayur di Jalan Segama.

Abidin ketika ditemui media.

Lee Fatt ketika menyampaikan risalah Panduan Pengendalian Makanan dan Majikan kepada salah seorang peniaga Kuih Bulan di tapak Tamu Besar TBC 2025 Jalan Segama.


TRADISIONAL... Abidin (tengah), Sabin (dua dari kanan) dan Lee Fatt (kiri) tertarik kepada aneka tawaran jualan kuih tradisional masyarakat Cina di salah sebuah gerai di Jalan Segama.

Sabin ditemani Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBKK, Robert Lipon (kiri) dan Tan Lee Fatt (kanan) ketika menjelaskan persiapan dan sambutan pengunjung pada Tamu Besar TBC 2025 Jalan Segama.

Abidin, Sabin, Tan Lee Fatt bersama-sama dengan kakitangan DBKK dan wakil peniaga menunjukkan tanda bagus kepada aspek persiapan dan kebersihan sejurus meninjau lokasi Tamu Besar TBC 2025 di Jalan Segama.


Menurut Abidin, penganjuran tamu besar tersebut menyokong kepada peluang peniaga tempatan untuk mengetengahkan hasil-hasil jualan di samping membuktikan Sabah memiliki keunikan berlandaskan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah.

Pada majlis yang sama, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah memaklumkan pihaknya menyediakan peluang perniagaan kepada 626 peniaga kecil yang terdiri daripada 609 penjaja dan 17 trak makanan di kawasan tersebut.

"Acara ini menyediakan peluang kepada lebih 600 peniaga untuk menawarkan pelbagai barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan barangan keperluan lain. 

"Peniaga juga diberi panduan agar menjaga kebersihan dan memastikan penyediaan makanan mengikut standard kesihatan, termasuk memakai sarung tangan dan penutup kepala.

"Acara ini bukan sahaja memudahkan masyarakat Tionghoa membuat persediaan, tetapi turut menarik minat kaum lain untuk turut serta merasai kemeriahan persiapan kaum Tionghoa menyambut tahun baharu

"Tamu ini berlangsung dari 2 petang (Isnin) sehingga jam 2 pagi (Selasa), dan tempoh ini memberikan lebih banyak masa untuk masyarakat setempat terutama warga bandaraya untuk membeli belah," tambah beliau.

Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Likas Datuk Tan Lee Fatt dan Ketua Pengarah DBKK Sr. Lifred Wong./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri