DAYANG Sedia Modal, Bimbing Usahawan Wanita
Wartawan : Suzaima Ibrahim
Jurufoto : Johny George Kimlon
KOTA KINABALU: Program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) akan membantu usahawan wanita secara menyeluruh antaranya dari segi modal dan bimbingan perniagaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata program DAYANG merangkumi sokongan melalui bimbingan dan latihan yang melibatkan sesi mentoring oleh pakar industri.
"Selain itu, mereka akan diberi pendedahan strategi pemasaran yang lebih efektif bagi memastikan kejayaan mereka (usahawan) dalam jangka masa panjang.
"Secara realitinya, usahawan wanita sering berhadapan dengan cabaran utama seperti kekangan modal, kekurangan akses kepada teknologi, pasaran, dan rangkaian sokongan yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.
"Cabaran ini bukan sahaja menghadkan peluang mereka untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti, malah turut menghalang potensi mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
"Sekitar 200 usahawan wanita muda di Sabah akan menerima manfaat daripada program DAYANG yang turut menawarkan pakej pinjaman yang menarik," katanya semasa Majlis Pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda, pada Khamis.
![]() |
Masidi ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Memperkasa Wanita Muda |
![]() |
Masidi (tiga dari kiri) menyampaikan surat lantikan kepada wakil mentor Program keusahawanan Wanita Muda (PKWM). |
![]() |
George (kanan) menyerahkan mock check bernilai RM5 juta kepada Masidi (tengah) disaksikan oleh Surinam (dua dari kanan). |
![]() |
Masidi (tiga dari kiri) menyampaikan surat watikah ahli Majlis Penasihat Keusahawanan Sabah (MPKS). |
![]() |
KENANGAN... Masidi (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama hadiri yang hadir. |
![]() |
Masidi (tengah) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Program Memperkasa Wanita Muda. |
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata di negeri ini
"Selain melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam, kerajaan tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan golongan wanita dalam perniagaan kecil dan sederhana.
"Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah, seperti program bantuan SME-Up, pemasaran dan promosi produk PKS serta kursus pembangunan usahawan tahun ini di seluruh Sabah.
"MIDE telah mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai pelbagai bidang perdagangan dan ekspo dunia di luar negara untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
"Sehingga kini, 8,031 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah berdaftar dengan MIDE dan diharapkan lebih ramai lagi akan mengambil bahagian untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka dan negeri Sabah," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Program Pembangunan Usahawan Belia (SYABAS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia dalam pelbagai perusahaan di seluruh negeri./Penerangan-
Comments
Post a Comment