Jelajah Ramadan RTM Bawa Misi Sebar Kebaikan
Wartawan : Deonalissa Jekee Edin
Jurufoto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU : Jelajah Ramadan RTM 2025 membawa misi menyebarkan kebaikan.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, tujuan utama program itu adalah untuk menyentuh hati mereka yang paling memerlukan.
"Jelajah Ramadan RTM ini akan berlangsung selama 20 hari dengan membawa misi menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
"Namun, kita sedar bahawa dalam tempoh 20 hari ini, tidak semua pihak dapat disantuni, tidak semua tempat dapat dikunjungi, dan tidak semua insan dapat menerima bantuan yang kita salurkan.
"Tetapi, kita percaya bahawa walaupun kita tidak dapat membantu semua orang, sekurang-kurangnya ada pihak yang akan menerima manfaatnya.
"Jelajah Ramadan RTM menjadi bukti bahawa RTM bukan sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi juga sebuah organisasi yang prihatin terhadap kebajikan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2025 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
![]() |
SUMBANGAN...Penyerahan sumbangan oleh pihak RTM dan penaja yang terlibat |
![]() |
Para jemputan dan penaja bergambar kenangan bersama bendera Jelajah Ramadan RTM. |
![]() |
CEK CURA...Shaliza (lima dari kiri) menyampaikan cek cura tajaan bahan api oleh Petron kepada Saifuzzaman (lima dari kanan). |
![]() |
Nasaruddin ketika menyampaikan ucapan. |
Beliau turut berpesan kepada pasukan konvoi untuk sentiasa bersikap profesional dan berhemah selain memastikan aspek keselamatan sentiasa diutamakan.
"Selain itu, pasukan konvoi juga perlu sentiasa peka dengan keperluan masyarakat, berikan layanan yang mesra dan penuh empati kepada mereka yang kita bantu kerana kehadiran kita bukan sekadar untuk memberi sumbangan tetapi juga untuk menyebarkan kegembiraan dan semangat Ramadan.
"Gunakan platform RTM untuk mempromosikan semangat kebersamaan dan keindahan Ramadan yang kita sebarkan melalui program ini," ujar Nasaruddin.
Turut hadir, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek, Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali dan Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop.
Program berkenaan akan berlangsung mulai 28 Februari hingga 20 Mac 2025 dengan pelancarannya di Kota Kinabalu, Sabah dan berakhir di Sungai Udang, Melaka melibatkan 34 juruhebah dari stesen radio RTM menjelajah 13 negeri dengan konsep 13 Negeri, 13 Golongan Sasaran menggunakan 25 kenderaan konvoi./Penerangan-
Comments
Post a Comment