JPJ Sabah Keluarkan 946 Saman Sepanjang Tiga Hari OPS HRA
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Volintine Jiloh
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengeluarkan 946 notis saman dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA) yang berlangsung dari 24 hingga 26 Mac 2025.
Pengarah JPJ Sabah, Harris Ali, berkata sebanyak 5,481 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut, dengan 467 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
"Kesalahan paling tinggi direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dengan 238 kes, diikuti pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 211 kes serta 105 kes membabitkan kenderaan yang tidak dilindungi insurans.
"Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 45 saman terhadap pengguna jalan raya yang tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar serta 15 saman bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Ops Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Pemeriksaan Bas Ekspres di Terminal Bas Utara, Inanam pada Khamis.
Operasi tersebut bertujuan memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya, mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan sepanjang musim perayaan.
Harris (dua kanan) ketika memeriksa salah satu bas.
Menurut Harris, pegawai JPJ Bahagian Kejuruteraan Automotif (KA) dan Pemeriksa Kereta Motor (PKM) akan melakukan pemeriksaan harian di tiga terminal utama di Sabah, iaitu Terminal Bas Inanam, Tawau dan Sandakan.
"Mereka akan menjalankan pemeriksaan terhadap bas ekspres bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan dan aspek keselamatan yang ditetapkan sebelum dibenarkan beroperasi.
"OPS HRA ini diselaraskan mengikut jadual pergerakan bas di setiap terminal bagi menjamin keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan akan dilaksanakan pada dua hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mengurangkan risiko kemalangan serta melancarkan aliran trafik./Penerangan-
Comments
Post a Comment