Penglibatan Belia Dalam Festival Kebudayaan Angkat dan Perkasa Seni Budaya - Japlin
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Foto : Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU: Penglibatan golongan belia dalam festival kebudayaan dapat mengangkat serta memperkasa seni budaya warisan negeri ini.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) Datuk Japlin Akim berkata belia merupakan golongan yang akan memartabatkan warisan seni budaya di negeri ini pada masa akan datang.
"Banyak dari kalangan anak-anak muda yang terlibat dalam program yang kita anjurkan ini terutamanya acara-acara yang berkaitan dengan Pertandingan Bertitik, Ratu Serimpak, Soromas dan sebagainya.
"Saya mengharapkan supaya golongan belia terus hadir bersama-sama untuk melihat bagaimana program ini berjalan dan melibatkan diri di dalam aktiviti seni budaya warisan kita ini.
"Sudah tentunya penglibatan pemuda itu amat diharapkan untuk kita sama-sama mengangkat dan juga memperkasakan seni budaya kita khususnya bagi Bajau Sama.
"Ini kerana golongan belia lah yang merupakan harapan pada masa depan untuk kita memartabatkan dan mempertahankan budaya kita di masa akan datang," ujar Japlin semasa ditemui media selepas sesi temubual bersama Sabahfm dan SabahVfm sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah yang akan bermula pada 7 hingga 10 Ogos 2025.
Menurut beliau lagi festival yang akan berlangsung selama empat hari tersebut bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama berbilang bangsa yang ada di Sabah dan akan diisi dengan pelbagai program menarik termasuk bengkel kebudayaan serta pertandingan yang melibatkan seni warisan.
"Sudah tentunya pesta kebudayaan ini antara tujuannya ialah untuk memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa yang ada di negeri Sabah ini.
"Kita mengharapkan agar pesta ini akan dihadiri oleh ramai orang lah daripada seluruh negeri Sabah kerana sepanjang program ini diadakan kita telah menyediakan berbagai-bagai aktiviti yang menarik yang telah disusun atur, antaranya ialah pertandingan Soromas, pertandingan Bertitik dan yang paling mendapat sambutan sekali pertandingan Ratu Serimpak yang akan diadakan dalam festival tersebut.
"Ada juga lain-lain aktiviti sebagai contoh bengkel tarian, ada pameran-pameran masakan, pameran-pameran keluaran-keluaran tempatan dan berbagai-bagai lagi yang bakal diadakan selama empat hari program ini berjalan," tambah beliau.
Festival yang akan diadakan di Dewan Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Lok Batik Tuaran itu dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang turut akan dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Presiden PRBSS.
Turut hadir semasa sesi temu bual tersebut Pengurus SabahVfm Ruskap Muharam dan Pengurus SabahFM Felix Lee Leng Pink./Penerangan-
Comments
Post a Comment